SHEIKH TAHIR JALALUDDIN
AL-FALAKI
Latar belakang
Syeikh Tahir
Jalaluddin sebenarnya merupakan seorang anak Melayu Minangkabau yang telah
berhijrah dan menetap di Tanah Melayu. Di belakang namanya kerap disunting
perkataan “Al-Azhari, Al-Falaki Assyahir” iaitu bererti beliau merupakan
keluaran Universiti al-Azhar di Mesir dan seorang ahli Falak yang terkenal.
Nama lengkap Syeikh
Tahir Jalaluddin ialah Muhamad Tahir bin Syeikh Muhammad. Beliau dilahirkan
pada hari Selasa, 4 haribulan Ramadhan, tahun 1286 Hijrah bersamaan 7 haribulan
Disember 1869 Masehi di Empat Angkat (Ampek Angkek), Bukit Tinggi Sumatera
Barat. Ayah beliau iaitu Syeikh Muhamad merupakan seorang ulamak terkenal di
Sumatera. Di dalam masyarakat Minangkabau Syeikh Muhammad lebih dikenali dengan
nama Tuanku Muhammad atau Tuanku Tjangking.
Kedua-dua ibu bapanya
meninggal ketika Syeikh Tahir baru berusia dua tahun. Oleh kerana Syeikh Tahir
masih kanak-kanak lagi ketika ditinggalkan oleh ayah dan ibunya, beliau telah
dipelihara oleh ibu saudara di sebelah pihak ibunya. Menjelang usianya lebih
kurang sebelas tahun, ibu saudaranya telah menghantar beliau menuntut ilmu di
Mekah. Di Mekah beliau tinggal bersama sepupunya Syeikh Ahmad Khatib yang
menjadi pemimpin Mazhab Imam Syafie di Masjid al-Haram.
Di
Mekah
Syeikh Tahir telah
datang ke Mekah pada tahun 1297H (1880 m) bersama datuk sepupunya Haji Abdul
Rahman. Di Mekah beliau tinggal bersama Syeikh Ahmad Khatib di dalam
pemeliharaan al-Syeikh Muhammad Salleh Kardabi Fidullah al-Kurdi. Pelajaran
asas yang diterimanya di sini ialah mengaji al-Qur’an dan mentajwidkan Qur’an
daripada Tuan Syeikh Abdul Haq. Pelajaran lain berhubung dengan keugamaan
dipelajarinya dari Syed Umar Syah, Syeikh Muhammad al-Khayyat, Syed Barkasyah
dan sepupunya sendiri Syeikh Ahmad Khatib. Dalam jangka masa dua belas tahun
Syeikh Tahir menetap di Mekah, beliau berpeluang mempelajari ilmu-ilmu ugama
dengan mendalam. Banyak daripada ajaran-ajaran sepupunya, Syeikh Ahmad Khatib
telah mempengaruhi jiwa Syeikh Tahir teristimewa berhubung dengan masalah
amalan beragama umat Islam yang dikatakan bercampur aduk dengan amalan bida’ah. Syeikh Ahmad Khatib juga merupakan seorang guru
yang bertauliah bagi masyarakat Jawi di Mekah pada waktu itu. Hasil dari pergaulan
dengan Syeikh Ahmad Khatib telah mendorong Syeikh Tahir belajar ilmu agama
dengan lebih mendalam lagi dari guru-guru lain di Mekah seperti yang telah
disebutkan tadi. Dengan ini ketokohan beliau dari segi keagamaan setanding
dengan gurunya yang menjadi kebangaan kepada masyarakat Melayu Indonesia dan
Tanah Melayu.
Setelah tujuh tahun
berada di Mekah, pada tahun 1304H (1884 M) beliau pulang ke tanah airnya,
Minangkabau. Pada tahun berikutnya beliau kembali semula ke Mekah untuk
menyambung pelajarannya. Beliau telah berkahwin buat pertama kalinya pada tahun
1306 H. (1886 M) dengan seorang gadis bernama Aisyah binti Syeikh Muhammad bin
Syeikh Ismail Al-Khalid Kabul. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya itu
mereka beroleh dua orang anak tetapi kedua-duanya meninggal dunia di Mekah
ketika Syeikh Tahir berada di sana.
Semenjak beliau
tinggal di Mekah pada tahun 1297 H (1880 M.), beliau mula mendalami ilmu
al-Quran. Seterusnya beliau mempelajari Ilmu Nahu (grammer), Bayan (Ilmu ucapan
dan keterangan yang fasih), Ma’ani (ilmu makna-meaning), Badi’a (ilmu boleh
mengenal pertuturan), Tauhid (ilmu mengenal Tuhan), Fekah (ilmu undang-undang),
Usul Fikah (ilmu mengetahui asal undang-undang), Hadis (ilmu mengetahui
perkataan, perbuatan dan kelakuan Rasul), Tafsir (ilmu menghuraikan makna-makna
al-Qur’an), Hisab (ilmu kira-kira), Hisab Bidasab (Ilmu kira-kira sukat
menyukat), Hai-ah (ilmu bintang) dan ilmu Falak (ilmu membicarakan matahari,
bulan dan bintang-bintang beredar). Berdasarkan ilmu yang dipelajarinya itu
adalah tidak menghairankan jika dia sangat mahir dalam soal yang berhubungan
dengan masalah agama Islam.
Di
Tanah Melayu
Syeikh Tahir
dikatakan telah datang ke Tanah Melayu menjelang tahun 1899. Dalam tahun itu
beliau telah mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis Perak dari suku Rawa,
bernama Aishah binti Haji Mustafa binti Datuk Menteri pada 28hb September 1899.
Didapati beliau ini seorang yang tidak mudah berasa senang hati untuk tinggal
menetap di satu-satu tempat. Sehingga tatkala beliau menetap di Tanah Melayu,
beliau kerap belayar ke negeri-negeri di Indonesia dan negeri-negeri Timur Tengah,
melawat sanak saudara, memberi ceramah-ceramah ugama dan sebagainya.
Di Perak setelah
Syeikh Tahir berkahwin dengan isterinya Aishah binti Datuk Menteri, beliau mula
menjalankan kerja-kerja harian untuk menyara keluarganya. Boleh dikatakan
beliau seorang yang suka hidup berdikari. Pada tahun 1900 M, beliau pernah
membuka kedai kain di Ipoh. Asas perniagaan ini dimulakan oleh bapa mertua
beliau yang dikatakan agak `berada’ juga. Namun demikian kerja berjual kain itu
hanya berjalan setakat setahun sahaja. Selepas itu beliau telah belayar lagi ke
Kepuluan Indonesia pada tahun 1901 melalui Tanah Jawa, Bali, Beliling, Ampanan,
Sumbawa, Bima dan Makasar. Dalam lawatannya itu ada kemungkinan beliau telah
menyebarkan buah fikirannya mengenai ilmu agama ditempat-tempat yang di
lawatinya.
Dalam tahun yang sama
beliau berpindah pula ke Johor Baharu. Di Johor Baharu beliau dijemput oleh
Yang Mulia Tengku Omar bin Ahmad, Hakim Besar Johor, bagi mengajar hakim-hakim
pengadilan di mahkamah Johor. Diantara hakim-hakim yang mendapat tunjuk ajar
beliau ialah Ungku Ismail bin Ahmad, Ungku Abdul Rahman bin Abdul Majid dan
lain-lain pengadil bangsa Melayu. Tugas mengajar hakim-hakim tersebut
berlangsung selama lebih kurang tiga tahun. Dalam masa beliau bertugas inilah,
Sultan Idris (1887-1916) sebagai Sultan Perak mengajak beliau ke London kerana
menghadiri kemahkotaan King George pada 22 Jun, 1911.
Pada 3hb Julai 1912
beliau meletakkan jawatan sebagai guru kepada hakim-hakim di Johor Baharu, dan
mulai tahun 1914 beliau bertugas pula sebagai guru di sekolah Agama Johor
Baharu dan menjadi Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor (Nazir). Ternyata
kemudian sewaktu menjawat jawatan tersebut beliau berasa tidak puashati dengan
system pendidikan dan cara pentadbiran sekolah-sekolah agama waktu itu. Dalam
suratnya kepada Yang Di Pertua Jabatan Pendidikan Negeri Johor, beliau
menyatakan dukacitanya kerana “tidak boleh menjalankan peraturan pelajaran yang
terlebih berfaedah dan berguna bagi kanak-kanak yang belajar”. Beliau akhirnya
meminta berhenti kerja pada tahun 1916.
Dua tahun setelah
kembali ke Perak pada tahun 1920, beliau telah diminta oleh rakan seperjuangan
Syed Syeikh bin Ahmad Al-Hadi, untuk menjadi guru di Madrasah Al-Masyhur
Al-Islammiyah di Pulau Pinang bersama-sama seorang rakannya Syeikh Abdullah
Maghribi. Khidmat beliau di Madrasah itu pun tidak lama kerana beliau telah
jatuh sakit. Di Al-Masyhur beliau ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Ilmu
Falak kepada pelajar-pelajar Madrasah itu. Dan menjelang tahun 1923, beliau berangkat
pula ke Medan dan Deli untuk berubat dan melawat tanah tumpah darahnya
Minangkabau selama enam bulan.
Sebagai
seorang ahli falak
Sebagai seorang alim
yang mempunyai kedudukan baik dimata masyarakat, beliau begitu dihormati.
Jawatan-jawatan yang dipegangnya semasa berada di Perak dan juga di Johor
membuktikan tenaga dan ilmunya mendapat perhatian. Pengetahuannya banyak
dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakatnya. Beliau sering diberi kepercayaan
untuk membantu menyelesaikan masalah hukum agama berdasarkan keilmuannya yang
luas baik di dalam Ilmu Falak mahupun yang berhubung dengan soal keagamaan.
Sebagai seorang ahli
Falak, beliau sering dihadapkan dengan pertanyaan-pertanyaan berhubung dengan
cara menggunakan Ilmu Hisab bagi menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya.
Banyak daripada pertanyaan-pertanyaan tersebut datang dari penduduk di Tanah
Melayu mahupun dari Indonesia. Pandangan beliau mengenai tarikh kemunculan anak
bulan Ramadhan atau pun bila berlakunya gerhana matahari, sering kali disiarkan
diakhbar-akhbar tempatan. Selain itu beliau juga sangat mengambil berat tentang
amal kebajikan di dalam masyarakatnya. Misalnya beliau sangat memberatkan
pentingnya sesebuah masjid itu mempunyai kiblat yang betul dan tepat mengikut
hala Kaabah di Mekah. Beliau berpendapat bahawa sembahyang tanpa menghadapi
arah kiblat yang tepat adalah tidak sah. Dengan itu beliau merasa
bertanggungjawab bagi membetulkan kiblat masjib oleh kerana beliau memahami
Ilmu Falak.
Memandangkan betapa
pentingnya kiblat bagi syarat sah sembahyang orang Islam, Syeikh Tahir pernah
dilantik oleh Sultan Idris, Perak untuk menjadi pemeriksa kiblat diseluruh
negeri Perak. Beliau pernah melahirkan kekesalannya kerana terdapat banyak
mihrab masjid yang tidak sehala dengan arah kiblat. Misalnya ketika beliau
menjadi pemeriksa kiblat masjid-masjid di Perak pada tahun 1900 beliau telah
melapurkan bahawa terdapat banyak masjid-masjid di Tanah Melayu tidak menuju
hala kiblat yang tepat seperti mana yang berlaku kepada masjid di Teluk Anson,
Perak. Selain itu didapati juga masjid-masjid di Pulau Pinang, masjid di Kuala
Lumpur dan Masjid Sultan di Kampung Gelam, Singapura turut tidak mengikut hala
kiblat yang betul. Ekoran dari timbulnya kekeliruan dalam hal berkaitan dengan
hala kiblat masjid, Syeikh Tahir telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan
dua buah buku. Buku
Pati Kiraan pada menentukan waktu yang Lima dan hal Kiblat dengan
Logarithma, diterbitkan di Singapura melalui
al-Ahmadiah Press pada tahun 1938. Seterusnya pada tahun 1951 diterbitkan pula
buku Natijah
al-Ummi (pendapat kira-kira pada takwim tarikh
Hijrah dan Miladi, hala kiblat Mazhab Shafii).
Keilmuan beliau dalam
bidang Ilmu Falak menyebabkan beliau digelar sebagai Syeikh Tahir Jalaluddin
Al-Falaki. Mengenai pentingnya ilmu falak itu beliau pernah menyatakan bahawa:
“Ilmu Falak itu suatu ilmu yang mulia bagi menyukat, menimbang perjalanan bulan
dan matahari”. Kenyataan beliau itu dilihat bersesuaian dengan sabda Rasul
Allah yang mengatakan, “sebaik-baik hamba Allah itu mereka yang mengintai-intai
matahari dan bulan dan naung bagi mendirikan sembahyang”. Berdasarkan kepada
sabda Nabi itu Syeikh Tahir sangat menitik beratkan kepentingan mempelajari
Ilmu Falak. Pentingnya pengetahuan ilmu Falak bagi orang Islam dikatakan
berkait rapat dengan soal kiblat dalam sembahyang, menentukan waktu sembahyang
serta menetapkan tarikh berpuasa dalam bulan Ramadhan dan berhari raya.
Kemahiran Syeikh
Tahir dalam bidang Ilmu Falak menunjukkan beliau mempunyai minat yang mendalam
tentang Ilmu Hisab atau matematik. Beliau turut mengecam mereka-mereka yang
tidak mahu menghargai kepentingan Ilmu Hisab untuk menentukan tarikh berpuasa
dan berhari raya. Menurut Syeikh Tahir penggunaan cara Hisab untuk menentukan
tarikh berpuasa dan berhari raya adalah penting terutama jika berlaku cuaca
buruk yang tidak memungkinkan kelihatan anak bulan untuk menandakan hari mula
berpuasa dan berhari raya. Menurut beliau bagi mereka yang tidak mahu
menggunakan kaedah Hisab untuk menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya samalah
juga mereka itu seperti manusia yang jahil. Kejahilan mereka menyebabkan mereka
hanya mengikut pendapat orang hingga menyebabkan berlaku puasa yang terdahulu
sehari daripada sepatutnya dalam bulan Ramadhan.
Dalam soal kiblat
pula beliau mengatakan orang Islam wajib mempelajari arah kiblat, dan wajib
pula menyebarkan pengetahuannya itu. Mengenai hal ini, beliau mengatakan: "Tiada boleh
`berijtihad’ pada kiblat itu melainkan orang yang ada celik matanya dan
mengetahui dalil-dalil kiblat seperti bintang-bintang, matahari dan bulan dan
selemah-lemahnya angin dan sekuat-kuatnya khutub dan tiada boleh ia bersandar
semata-mata sangka dengan tidak tanda dan dalil."
Beliau juga
berpendapat bahawa orang-orang yang buta dikecualikan daripada mempelajari
dalil kiblat demikian juga orang-orang celik yang tidak mampu mempelajarinya.
Betapa pun mereka harus mengikut petunjuk orang-orang yang arif tentang dalil
kiblat.
Kenyataan-kenyataan
beliau yang disiarkan diakhbar-akhbar mengenai banyaknya masjid-masjid di Tanah
Melayu dan Sumatera yang tidak mengikut hala kiblat, akhirnya menimbulkan
kesedaran orang ramai. Kesannya di Tanah Melayu orang ramai juga turut mengakui
banyak daripada masjid-masjid di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan
lain-lain tidak mengikut hala kiblat yang betul. Mengenai keadaan ini seorang
pembaca pernah mengulas: "Kedudukan ugama kita
adalah di dalam kucar kacir. Satu-satunya yang menjadi suasana di dalam
masyarakat ugama kita ialah masalah kiblat masjid dan masalah ini telah menjadi
soal yang hangat di dalam masyarakat ugama kita."
Meskipun kesan
daripada persoalan kiblat ini membuka mata masyarakat tentang banyak kesilapan
hala kiblat yang berlaku di masjid-masjid Tanah Melayu, namun pendedahan ini
menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pihak-pihak tertentu. Misalnya
Syeikh Tahir pernah dibicarakan oleh mahkamah di Pulau Pinang oleh kerana
beliau menjalankan penyiasatan letak kiblat di masjid Pulau Pinang. Pendapat
beliau juga pernah ditentang oleh seorang pembaca akhbar yang menganggap soal
kiblat itu tidak penting digembar-gemburkan, memadailah jika sembahyang
menghadap ke kiri atau kanan kiblat.
Melihat kepada ramai
lagi mereka yang tidak memahami Ilmu Falak dan kepentingannya dalam soal agama,
beliau terus menyebarkan ilmunya walaupun ketika beliau sudah tua dan uzur.
Kegigihannya menyumbangkan tenaga untuk menyebarkan pengetahuan ini amat jelas
kelihatan. Misalnya ketika beliau berusia 79 tahun beliau telah pergi ke
Bangkok di Thailand untuk mengajar kira-kira hala kiblat. Menjelang usia 83
tahun, Syeikh Tahir dijemput pula oleh pihak Jabatan Agama Johor untuk mengajar
Ilmu Falak kepada kakitangan jabatan itu. Ini dilakukan selama enam bulan
dengan berulang alik dari Kuala Kangsar ke Johor Baharu.
*berdasarkan kertas kerja Mohd Sarim Hj. Mustajab, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah.
Terima kasih kepada sumber: http://mufti.penang.gov.my/v1/pusat_falak/sheikh%20tahir%20jalaluddin.htm
No comments:
Post a Comment