KAEDAH 4: istiwa a’zam
Salam saudara/i sekalian, kaedah mudah yang keempat untuk kita menentukan arah kiblat di tempat kita berada dengan berdasarkan bayang-bayang matahari ketika fenomena alam yang dikenali sebagai Istiwa A'zam. Saya kongsikan petikan khas daripada Laman Web Rasmi Kompleks Falak al-Khawarizmi.
Semakan Arah Kiblat Ketika Matahari Istiwa di atas Kaabah
Matahari istiwa adalah fenomena apabila Matahari berada tepat di atas titik zenit sesuatu tempat ketika ia melintasi di meridian tempat berkenaan. Peristiwa ini berlaku apabila nilai deklinasi Matahari bersamaan dengan nilai latitud tempatan. Matahari akan mengalami istiwa dengan Kaabah, ketika deklinasi Matahari sama dengan latitud Kaabah. Bayang-bayang objek di mana-mana tempat di Bumi yang menerima cahaya Matahari ketika Matahari Istiwa di atas Kaabah boleh menjadi panduan arah kiblat. Ini disebabkan pada ketika itu bayang-bayang objek yang tegak akan menghala ke arah Kaabah.
Istiwa Matahari di atas Kaabah akan berlaku setiap tahun pada 28 Mei pukul 5.16 petang dan sekali lagi pada 16 Julai 5.28 petang waktu Malaysia.
Umat Islam di Malaysia berpeluang untuk menyemak arah kiblat di tempat masing-masing pada masa tersebut. Semakan boleh dilakukan dengan menggunakan bayang yang ditunjukkan oleh sebarang objek yang tegak lurus seperti tiang bendera, tiang lampu, sisi tingkap, sisi pintu atau sisi rumah.
p/s: Perlu diingat, memandangkan fenomena ini berlaku pada waktu petang, bayang-bayang akan jatuh ke arah Timur. Oleh itu, arah kiblat adalah bayang-bayang yang mengadap objek tersebut.
No comments:
Post a Comment