Pada 10 Mac 2014 (Isnin) yang lalu, saya memanjatkan rasa syukur Alhamdulillah kehadrat Ilahi kerana masih diberikan kesempatan untuk terus menyebarkan ilmu yang amat sedikit dalam hati ini. Kali ini saya dapat bertemu sahabat-sahabat seperjuangan di KIPSAS (Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah). Pertemuan dengan mahasiswa/i KIPSAS ini diaturkan oleh Saudari Suhaila (Pengarah Program) bermula jam 8.00 malam hingga 01.00 pagi.
Program kali ini telah memberikan peluang kepada saya untuk berkongsi ilmu falak dalam dua slot iaitu "Penentuan Arah Qiblat" dan "Cerapan Langit Ilahi: Cerapan Bulan Separa & Planet Musytari". Syukur Alhamdulillah, cuaca sangat baik dan mengizinkan untuk menjalankan kedua-dua aktiviti ini. Semoga dengan sambutan yang sangat baik daripada mahasiswa/i yang hadir dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan rasa kagum dan syukur kepada Allah SWT. Harapan saya ilmu yang dikongsikan bersama ini dapat disampaikan kepada sahabat-sahabat yang tidak berkesempatan untuk hadir.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga KIPSAS bermula daripada pihak pengurusan KIPSAS, Jawatankuasa Penganjur dan mahasiswa/i yang hadir dalam majlis ilmu ini. Dalam masa yang sama juga sama-samalah kita mendoakan agar musibah yang melanda negara kita ketika ini dapat ditempuhi dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Teruskan berdoa, agar kita semua dilindungi daripada fitnah dunia dan dajjal laknatullah.
No comments:
Post a Comment