Kosmologi Dalam Al-Quran:
Kosmologi adalah titik permulaan daripada ilmu pengetahuan dalam Islam. Ia adalah berhubung kait dengan permulaan penciptaan alam semesta, samada yang berada di dalam atau diluarnya. Al-Quran menyebutkan hakikat tertinggi alam semesta yang menunjukkan bahawa Allah adalah kekuatan yang mengendalikannya. Penyelidikan tentang alam semesta ini akhirnya membawa manusia kembali untuk menikmati ilmu pengetahuan tentang keesaan Allah s.w.t.
Dalam surah al-A’raaf, ayat ke 54, Allah s.w.t. mengingatkan bahawa:
“Sesungguhnya Tuhan kamu adalah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, lalu Ia bersemayam di atas ‘Arasy ; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras, dan Ia pula menciptakan matahari dan bulan serta bintang-bintang, semuanya tunduk kepada perintahNya...”.
Allah menjadikan seluruh langit dan bumi dalam enam hari mengikut hitungan Tuhan. Hari yang disebutkan dalam ayat ini bukanlah hari 24 jam sebagaimana yang kita hitung sekarang. Dalam al-Quran, surah al-Haj, ayat 47, dan surah as-Sajdah, ayat 5, dijelaskan bahawa bilangan hari di sisi Allah sama dengan 1000 tahun hitungan manusia.
Dalam surah al-Ma’rij, ayat 4 diterangkan satu lagi hitungan satu hari sama dengan 50, 000 tahun menurut hitungan tahun peredaran bumi matahari.
Penjelasan daripada ayat-ayat di atas mengenai dengan bilangan hari dapat dirumuskan bahawa di dalam bahasa Arab, hari itu juga bererti masa atau zaman. Ia berbeza dari hitungan hari kita yang berdasarkan definasi astronomi yang melibatkan bumi mengelilingi matahari.
Kesimpulan daripada maksud ayat yang berkenaan membawa pengertian malalui kemajuan penyelidikan ilmu bahawa kejadian langit dan bumi adalah melalui enam zaman.
Zaman Pertama: Semuanya masih merupakan wap atau asap. Bermula daripada wap timbul pula pecahan-pecahan kecil yang kemudiannya menjadi planet-planet termasuk bumi.
Zaman Kedua: Wap bertukar menjadi air.
Zaman Ketiga: Kejadian bukit-bukit dan gunung-ganang.
Zaman Keempat: Kehidupan di dalam air seperti tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang.
Zaman Kelima & Keenam: Apa yang dapat dilihat dan dialami sekarang.
Dalil bermula segala-galanya dari wap atau asap adalah terdapat dalam surah al-Fussilat, ayat ke 11 yang bermaksud:
“Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap...".
Sesuai dengan hasil penyelidikan ilmiah mengenai dengan asal usul sistem suria yang bermula dengan asap, kemudiannya berpisah menurut hukum tarikan graviti dan ia kemudian membentuk menjadi matahari sebagai nukleus, lalu terbentuk planet-planet lain termasuklah bumi.
Ayat-ayat al-Quran berikut menghuraikan dengan lebih lanjut terhadap berlakunya ciptaan Allah mengenai bumi dan langit.
Surah al-Fussilat; ayat 9-12:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya ! Yang demikian (sifatnya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian alam”.
“Dan Ia menjadikan di bumi ini gunung-gunung yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa”.
“Lalu ia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa, dan Ia memberi tahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiaskan langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya...”.
No comments:
Post a Comment