Apa khabar sahabat As-Syi'ra dan Kembara Angkasa sekalian? Diharapkan kalian sihat walafiat dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah Allah SWT. Rasa macam lama tak 'update' aktiviti dan perkembangan kami. So, kami rangkumkanlah cerita jelajah kami sepanjang bulan Mei di sini.
Dalam bulan Mei ini, kami telah menjelajah ke 5 lokasi yang telah menjemput kami untuk menceriakan program-program yang telah dianjurkan. Di antara lokasi tersebut ialah Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Universiti Sains Islam Malaysia, Surau Al-Hijrah Kota Warisan, Kg. Jenderam Hilir dan Masjid Jamek Al-Khadijiah Pantai Dalam.
Program Pertama
Langkah pertama kami di bulan Mei ini adalah di Kompleks Falak Al-Khawarizmi sempena Sambutan Hari Falak (Astronomy Day) Peringkat Negeri Melaka 2014 pada 10 & 11 Mei(Sabtu & Ahad). Setiap tahun kami dijemput untuk memeriahkan sambutan tersebut. Terima kasih kepada Jabatan Mufti Negeri Melaka kerana terus memberi kepercayaan kepada kami. Walaubagaimanapun kami tiba agak lewat pada sebelah petang kerana berlaku masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan dalam perjalanan ke sana. Namun, kami turut terlibat untuk aktiviti cerapan langit malam dan pameran pada hari keesokannya. Sambutan yang diberikan amat menggalakkan seperti tahun-tahun sebelumnya. Program tamat pada jam 3 petang. (Klik Sini Untuk Gambar)
Program Kedua
Jelajah kami seterusnya adalah ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai sempena Karnival Astrofiqh'14 pada 15 Mei. Karnival ini dianjurkan oleh mahasiswa Falak Syar'ie, Fakulti Syariah dan Undang-undang. Pelbagai aktiviti yang menarik seperti pertandingan roket, mewarna, kuiz, ceramah dan pameran. Seperti kebiasaannya, kami diberi peluang untuk membuka pameran dan jualan cenderahati falak serta dijemput untuk berkongsi ilmu berkaitan penentuan arah kiblat yang disampaikan oleh saya sendiri. Hehehe...(nak jemput lagi pon boleh). Karnival ini tamat pada jam 11 malam dengan sesi forum Astrofiqh yang telah dihadiri oleh Ustaz Dr. Ibnor Azli (NYDP 2, PFSM) dan En. Shahrin (Falak Online). forum ini telah dikendalikan oleh Pn. Idza Sharmina, salah seorang team Kembara Angkasa la tu..Walaubagaimanapun aktiviti cerapan pada malam tersebut tidak dapat dijalankan kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Inshaa Allah pada waktu lain la plak....
'Ter' masuk dalam paper plak. Hehehehe...(baju t-shirt biru tu la..) |
Program Ketiga
Seterusnya kami berkunjung ke Surau Al-Hijrah, Kota Warisan di Sepang pada 17 & 18 Mei (Sabtu & Ahad) sempena Karnival Mini Falak. Tahniah kami ucapkan kepada seluruh jawatankuasa penganjur kerana menganjurkan program ini walaupun baru pertama kali. Karnival mini dipenuhi dengan aktiviti ceramah, forum, pameran, jualan dan cerapan langit malam. Sesi kuliah maghrib dan subuh yang bertemakan falak telah disampaikan oleh Ustaz Hanafiah, ahli PFSM yang juga merupakan pegawai falak di Jab. Mufti Negeri Johor. Manakala sesi forum pula dikendalikan oleh Ustaz Shafie (Imam Masjid Putra, Putrajaya), panelnya pula ialah Ustaz Dr. Ibnor Azli dan saya sendiri pada hari keduanya. Sesi cerapan langit malam dijalankan pada hari Sabtu malam Ahad bermula jam 9.00 malam sehingga jam 12.30 pagi. Antara objek langit ciptaan Allah yang boleh dilihat ialah Bulan, planet Marikh, Musytari dan Zuhal. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan karnival mini falak ini kerana sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk Kota Warisan.
(Klik Sini Untuk Gambar)
(Klik Sini Untuk Gambar)
Program Keempat
"Praktikal Arah Kiblat sempena Fenomena Istiwa A'zam". Program ini telah dianjurkan oleh Ustaz Dr. Ibnor Azli di tanah milik beliau di Jenderam Hilir pada 28 Mei bermula jam 4.30 petang hingga jam 6.00 petang. Peserta-peserta yang terlibat adalah mahasiswa FPI UKM yang mengambil kursus Astrofiqh & Kosmofiqh. Namun, cuaca pada petang tersebut agak tidak mengizinkan walaupun baik kerana tidak kelihatan bayang-bayang matahari pada jam 5.16 petang iaitu ketika istiwa di Mekah. Walaubagaimanapun kaedah dan ilmu berkaitan arah kiblat tetap dikongsikan oleh Ustaz Dr.Ibnor kepada pelajar-pelajarnya.
(Klik Sini Untuk Gambar)
(Klik Sini Untuk Gambar)
Kenyataan saya dalam Metro 29 Mei (Kolum no. 2, atas) berkaitan Istiwa A'zam |
Program Kelima
Jelajah terakhir bulan Mei kami ialah di Masjid Jamek Al-Khadijiah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 31 Mei (Jumaat) yang lalu sempena Ceramah Isra' Mi'raj yang telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Ibnor Azli. Kami hanya buka pameran dan jualan sahaja kerana sesi cerapan tidak dapat dijalankan disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan (awam tebal) walaupun team kami saudara Nazrin tetap memasang teleskop beliau kerana planet Marikh kelihatan dalam masa sekejap sebelum ditutupi awan semula..Program malam tersebut tamat pada jam 11.30 malam. (Klik Sini Untuk Gambar)
Kesimpulannya, kami ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak-pihak yang telah menjemput kami untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama masyarakat setempat disamping mengadakan sedikit jualan cenderahati sebagai kenangan daripada kami. Mohon maaf jika ada banyak kekurangan sepanjang kami bersama-sama menjayakan program kalian. Jika diizinkan Allah SWT, kita akan berjumpa lagi pada masa akan datang. Sudi-sudilah untuk menjemput kami lagi ke tempat kalian. Terima kasih..terima kasih..terima kasih..kepada team kami yang turut hadir meluangkan masa menjayakan pameran, jualan dan cerapan seperti Sdr. Haziq, nazrin, Afiq, Shakir dan Sulhi.
No comments:
Post a Comment