PERKHIDMATAN AS-SYI'RA

Kembara Angkasa, PFSM menawarkan perkhidmatan melalui pendekatan ilmu Falak (Astronomi Islam) untuk sekolah, IPT, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut-institut Latihan, Surau, Masjid & Kawasan Perumahan untuk menganjurkan program-program yang bermanfaat seperti:
* Ceramah/Kuliah Motivasi Falak * Cerapan Langit Malam (bulan, bintang, planet dll) * Cerapan matahari * Pameran falak @ sains * Bengkel, Seminar dan Kem Falak (Cth: Bengkel Arah Kiblat & Waktu Solat, Kem Motivasi Ahli Falak Muda dll) * Penentuan dan Semakan Arah Kiblat kediaman dan surau premis perniagaan.

Hubungi: 013 300 5006 - Emel: assyiradihati@gmail.com

ALBUM PHOTO MURAH & MUDAH

Saturday 10 March 2012

TOKOH FALAK TERBILANG: AL-MARHUM TUAN HAJI MOHD KHAIR BIN HAJI TAIB

Allahyarham Tuan Haji Mohd. Khair Bin Hj. Mohd Taib, atau dikenalinya juga dengan nama Pak Khair merupakan seorang tokoh falak yang sangat terkenal suatu masa dulu. Sekitar tahun 70-an hingga 80-an nama beliau meniti di setiap bibir umat Islam menjelang awal Ramadhan dan 2 hari raya. Beliau merupakan satu-satunya ahli falak ketika itu yang mampu membuat pengiraan dengan tepat dan jitu sehingga diakui oleh ramai pihak kebolehan beliau dalam pengiraan memang menakjubkan. Berbekalkan kalkulator dan almanak-almanak beliau membuat pengiraan berkaitan hilal, gerhana dan waktu solat.


Penulis pernah diceritakan tentang kebolehan beliau dalam mengingati digit-digit nombor dalam pengiraan falak yang biasanya mencapai 8-12 digit tanpa perlu menulisnya di mana-mana kertas. Sebaik sahaja beliau hendak mengirakan keseluruhan nombor tersebut, beliau terus dapat mengingati digit-digit itu tanpa satupun yang tertinggal.

Latar Belakang


Allahyarham Tuan Haji Mohd. Khair Bin Hj. Mohd Taib sebenarnya bukanlah nama sebenar beliau. Berdasarkan temu bual penulis dengan ahli keluarganya di Sungai Rokam, Perak penulis telah ditunjukkan surat kelahiran arwah. Nama yang tertera ialah Mohd Saad Mohd Taib. Walau bagaimanapun pada 5 Disember 1960 beliau telah menukar nama kepada Mohd Khair Bin Mohd Taib.


Seperkara yang menarik lagi tentang beliau ialah mengenai tarik kelahirannya yang tepat. Penulis telah merujuk kepada surat kelahiran beliau yang mencatatkan 14 Muharram 1340 H ( Sabtu ) bersamaan 17 September 1921 M. Walaubagaimanpun menurut ahli keluarga beliau tarikh lahir yang menjadi rujukan ialah 22 September 1922 M ( Jumaat ) bersamaan 30 Muharram 1341 H. Dalam satu tesis yang dirujuk oleh penulis pula mencatatkan 8 September 1922 M ( Jumaat ) bersamaan dengan 7 Rabiul awal, 1340 H.

Perkara ini mungkin berlaku kerana kelewatan pendaftaran kelahiran yang sering berlaku pada masyarakat dahulu. Justeru penulis lebih meyakini tarikh 22 September 1922 M ( Jumaat ) bersamaan 30 Muharram 1341 H yang menjadi kebiasaan ahli keluarganya bagi menyambut sambutan hari lahir beliau.

Beliau telah dilahirkan di Kampung Bakar Bata, Alor Setar. yang terletak 3 km dari Pusat Bandar Alor Setar di mana terletaknya Hospital Besar Alor Setar sekarang. Ayahanda beliau iaitu Haji Mohd Taib Bin Haji Idris berasal dari negeri Kedah merupakan seorang guru al-Quran. Tuan Haji Mohd Taib pernah menyusun dan menghasilkan sebuah Muqaddam dalam tahun 30-an bagi kegunaan seluruh pelajar negeri Kedah. Muqaddam yang diberi nama Muqaddam Mahmud ini diambil bersempana nama Pemangku Sultan yang memerintahkan negeri Kedah pada masa tersebut, Tuanku Mahmud Ibn al Marhum Sultan Ahmad Tajuddin al- Mukarram Shah.

Bonda beliau bernama Hajjah Fatimah Bt. Ariffin juga berasal dari Kedah. Jika diperhatikan salasilah keturunan ayahanda dan bonda beliau, terdapat pertemuan diantara keduanya. Beliau juga mempunyai seorang ibu tiri bila ayahanda beliau berkahwin dengan Aminah, setelah Bonda beliau Hajjah Fatimah meninggal dunia.

Hasil perkongsian hidup diantara ayahanda beliau dengan Hajjah Fatimah, telah dikurniakan 9 orang anak iaitu 7 orang lelaki dan 2 perempuan. Sementara hasil perkongsian hidup dengan Puan Aminah pula telah dikurniakan 6 orang iaitu 5 lelaki dan seorang perempuan.


Tuan Haji Mohd Khir Taib hanya berkahwin pada umur 32 tahun. Ia perkahwinan yang agak lewat bagi seseorang lelaki pada tahun 50-an. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Sofiah Bt. Hamid pada 27.5 .1953. Ini kerana beliau begitu sibuk dan asyik dengan pelajaran dan pekerjaannya. Hasil perkahwinannya mereka dikurniakan enam orang anak iaitu 3 lelaki dan 3 perempuan.


Latar belakang Pendidikan

Allahyarham Tuan Haji Mohd Khair Bin Hj. Mohd Taib, mendapat pendedahan awal mengenai ilmu falak ketika beliau belajar di Madrasah al-Hamidiah ( Limbung Kapal ) pada tahun 1936. Ketika itu melalui gurunya Ku Arifin, beliau mempelajari kaedah pengiraan waktu solat.

Ketika di Ma’had Mahmud, mata pelajaran ilmu falak syarie telah diajar. Walaupun modul pengajaran ketika itu hanya merangkumi penggunaan Rubu’ Mujayyab, beliau tetap menunjukkan minat yang mendalam terhadap ilmu falak. Guru yang mengajarnya itu ialah Ku Ariffin.


Berguru Dengan Syeikh Tahir Jalaluddin

Setelah tamat pengajian di al-Mahsyur, Pulau Pinang, di dorong minat yang sangat mendalam terhadap ilmu falak, beliau pergi ke Kuala Kangsar, Perak bagi berguru dengan seorang tokoh falak yang sangat dihormati ketika itu iaitu Syeikh Tahir Jalaluddin.5 Dalam pertemuan itulah, Tuan Haji Mohd Khair melahirkan hasratnya untuk bergurukan ilmu falak dari Syeikh Tahir, dengan nada yang bersungguh-sungguh. Syeikh Tahir dengan senang hatinya menerima beliau sebagai muridnya. Beliau yakin bahawa Tuan Haji Mohd. Khair akan menjadi satu-satu anak muridnya nanti yang mewarisi kemahiran dalam ilmu falak.


Dengan penerimaannya sebagai murid, Tuan Haji Mohd. Khair telah diberikan sebuah peti besi yang penuh berisi dengan peralatan untuk mempelajari ilmu falak. Setelah itu bermulalah pengajian beliau dengan Syeikh Tahir dalam pengajian ilmu falak sesudah sekian lama menantikan saat tersebut.


Rumah Syeikh Tahir menjadi sekolah bagi Tuan Hj. Mohd Khair mendalami ilmu falak. Dalam masa pengajiannya, beliau turut membantu gurunya menguruskan hal hariannya. Beliau mencari kayu api, mengangkut air dan sebagainya. Beliau juga mengambil kesempatan belajar secara sambilan di Sekolah Agama Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar di mana pada paginya di Idrisiah dan sebelah petangnya di rumah Syeikh Tahir. Setelah 2 tahun berguru dengan Syeikh Tahir, setelah beliau merasa yakin dan dapat mengusai dengan ilmu falak, Tuan Hj. Mohd Khir mengambil keputusan untuk pulang ke Alor Setar. Beliau kembali dengan semangat yang berkobar untuk menyebarkannya dan menggunakannya bagi berbakti kepada masyarakat.

Usaha Mengembangkan Ilmu Falak.


Sekembali beliau dari Kuala Kangsar, beliau menemui sahabatnya baiknya Haji Salleh Shamsuddin7 bagi mengumpulkan di antara 15-20 orang yang meminati ilmu falak. Tidak kira samada muda atau tua. Beliau menyampaikan hasrat ini dengan bersungguh-sungguh kepada sahabatnya itu. Walau bagaimanapun beliau telah menerima ujian pertama daalm usahanya dalam mengembangkan ilmu falak ini, setelah sahabatnya tidak dapat mencari mereka yang benar-benar berminat dengan ilmu falak.



Beliau tidak patah semangat dan masih cuba mengembangkan ilmu ini pada masyarakat. Akhirnya beliau menemui Tuan Guru Haji Yahya Junid, iaitu abang iparnya sendiri yang merupakan pengasas kepada Madrasah al-Taufiqiyah. Setelah berpuas hati dengan penjelasan Tuan Hj. Mohd Khir, beliau membenarkan adik iparnya itu mengajar ilmu falak di sekolah tersebut. Maka jadilah Madrasah al-Taufiqiyah tempat beliau mencurahkan segala ilmu berkait dengan ilmu falak. Bukan saja murid-muridnya terdiri dari pelajar-pelajar, tapi juga dari kalangan guru-guru di Madrasah tersebut. Beliau bukan saja mengajar ilmu falak tapi turut mengajar lain-lain subjek. Antara buku yang menjadi rujukan utama beliau ketika mengajar ilmu falak ialah:

1. Sebuah buku yang ditulis oleh gurunya sendiri iaitu Tuan Syeikh Tahir.( kemungkinan kitab Pati Kiraan ).
2. Nautical al-Manac yang diterbitkan di England.
3. Sebuah buku bahasa Arab.


Beliau telah menumpahkan sepenuh perhatian dan usahanya dalam mengembangkan ilmu falak ini di Madrasah ini. Hampir 9 tahun lamanya beliau tanpa jemu dan letih berusaha mengembang ilmu falak ini pada setiap mereka yang berminat.

Sekitar 1978, beliau telah bekerja dengan Institut Dakwah ( INDAH ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ). Beliau telah ditugaskan memberikan kuliah ilmu falak kepada pegawai-pegawai kerajaan, orang awam dan pelajar-pelajar yang berminat mempelajari ilmu falak.

Beliau juga berusaha menyiapkan beberapa modul berkaitan, bagi menjadikaan kursus ini menjadi lebih sistematik dan efektif. Modul kursus Falak Syarie tersebut ialah:

i. Pengenalan ilmu falak Syarie dan perkembangan pengajian dalam sejarah tamadun Islam.
ii. Nas-nas Naqliah dan pandangan ulama’ berkaitan dengan falak syarie.
iii. Penentuan Tarikh/ Taqwim.
iv. Pengiraan waktu solat.
v. Penentuan arah kiblat.
vi. Pengiraan Hilal.
vii. Penentuan Gerhana.
viii. Hisab Pergerakan Cakerawala/Planet sistem suria.
ix. Astronomi Fizikal.
x. Penggunaan Peralatan Falak.
xi. Lawatan
xii. Latihan dan Ujian.


Beliau juga telah diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam Persidangan di Istanbul, Turki pada 27-30 November 1978.9 Di antara resolusi yang telah dikeluarkan adalah hasil dari cadangan beliau sendiri. Ianya berbunyi :

“ Ijtimak matahari dan bulan tidak kurang dari 8 jam sebelum ghurub matahari.”


Ia akhirnya diterima sebagai salah satu dari kriteria kenampakan hilal.

Pada 6 Okt 1981, Tuan Haji Mohd Khair telah dilantik denagn rasminya sebagai Karyawan Tamu di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam. Bersesuaian dengan kepakaran beliau dalam ilmu falak beliau telah ditugaskan untuk:


i. Memberi kuliah-kuliah falak kepada pelajar dan pensyarah;
ii. Membantu pihak jabatan dalam perkara yang berkait dengan falak seperti menentukan waktu solat, kenampakan hilal dan penentuan arah kiblat;
iii. Menghasilkan karya dalam bidang falak syarie dan menyusun kelendar;


Dalam satu seminar Falak Syarie pada 22-24 Jan 1982 anjuran Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, beliau telah membentangkan satu kerja yang bertajuk “ Perkembangan Ilmu Falak Syarie Selepas Zaman Rasulullah SAW ”. Pada penutup dan resolusi kursus tersebut beliau telah mengemukakan cadangan dan syor. Antaranya penubuhan Persatuan Falak Syarie Malaysia. Ia bagi tujuan mengumpulkan semua peminat-peminat ilmu falak dan medan untuk mereka bertukar-tukar fikiran.

Akhirnya dengan usaha beliau dan anak-anak muridnya, pada 1 Muharram 1404 H bersamaan 7 Okt 1983 M bertempat di Dewan Kuliah II, Fakulti Pengajian Islam, mesyuarat pertama bagi penubuhan persatuan ini telah diadakan. Mesyuarat telah bersetuju , menubuhkan Jawatan Kuasa Penaja bagi Persatuan Falak Syarie Malaysia dan beberapa port folio telah diwujudkan. Tuan Haji Mohd Khair telah dilantik menjadi penasihat kepada ini.

Pakar rujuk dalam bidang falak

1. Satu Jawatankuasa Istilah Astronomi hendak diwujudkan oleh dewan Bahasa dan Pustaka. Di antara mereka yang terlibat ialah Datuk Kapten Hamzah Mohd Noor, Dr. Mazlan Othman, Dr. Mustada Din Subari, Prof. Hj. Abd. Hamid Tahir dan termasuklah Tuan Haji Mohd Khair sendiri. Beliau telah dilantik sebagai pakar rujuk dalam istilah-istilah falak syarie. Maka satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Istilah Astronomi akan dilangsungkan pada 18 Jun 1988. Walau bagaimanapun Tuan Haji Mohd Khair, tidak dapat menghadiri mesyuarat kali pertama ini kerana uzur. Namun dalam suratnya kepada pihak DBP, beliau telah menulis :


“ Inisiatif oleh Dewan Bahasa dan Pustaka kali ini adalah sebagai mengulangi hasrat saya yang terpendam sejak lama dulu untuk diistilahkan semua perkataan astronomi dan dibukukan.”


Dalam isi surat beliau ini mengambarkan semangat dan idea-idea beliau yang tidak pernah padam dalam mengembangkan ilmu falak, walaupun keadaannya uzur pada waktu itu. Berdasarkan penelitian penulis terhadap koleksi surat-surat beliau berkaitan jawatankuasa ini, beliau juga tidak dapat menghadiri mesyuarat-mesyuarat seterusnya. Akan tetapi pihak DBP masih mengekalkan beliau sebagai salah seorang dari ahli jawatankuasa tersebut dan mengirimkan minit-minit mesyuarat dan daftar istilah-istilah yang telah diputuskan untuk disemak oleh beliau. Ini juga membuktikan kepakaran beliau yang telah mendapat pengiktirafan banyak pihak sebagai pakar rujuk dalam bidang falak.


2. Beliau juga merupakan salah seorang dari ahli jawatankuasa penetapan awal bulan ramadhan, syawal dan zulhijjah. Pada setiap kali mesyuarat penetapan awal bulan beliau akan membentangkan hasil pengiraan beliau. Ahli jawatankuasa ini turut terdiri dari Mufti, Pegawai-pegawai Jakim dan Pegawai Jabatan Agama Islam Negeri.

3. Beliau juga telah menyusun takwim-takwim solat yang sistematik dan mudah bagi beberapa buah negeri yang memohon kepakaran beliau. Antaranya Johor, Kedah, Perak dan Kelantan. Sementara ada negara lain seperti Singapura yang memintanya menyemak takwim yang telah disusun. Gaya susunan takwin-takwimnya telah digunapakai hinggalah ke hari ini.


Penghormatan Yang Diperolehi


Di sepanjang kehidupannya yang sangat berjasa beliau telah dianugerahkan beberapa bintang kehormat dari Sultan Kelantan, Kedah dan Perak iaitu:

1. Ahli Mahkota Kedah ( AMK)
2. Kesatria Mangku Negara ( KMK )
3. Ahli Mahkota Perak ( AMP)


Perginya Tokoh Falak



Pada 28 Oktober 1989 bersamaan 28 Rabiul Awal 1410 H ( Sabtu ) ahli Falak Syarcie yang terkenal, Tuan Haji Mohd Khair Haji Mohd Taib telah meninggal dunia di Hospital Besar Ipoh pada kira-kira jam 10.00 malam kerana sakit barah gusi. Beliau disemadikan di tanah perkuburan orang Islam Kg. Melayu, Sungai Rapat, Ipoh.


Berita kematian beliau telah disiarkan didada-dada akhbar dan ahli keluarga telah menerima kunjungan dan ucapan takziah yang tidak putus-putus dari banyak pihak. Semoga setelah hampir 16 tahun pemergian beliau, kita akan terus menghargai dan mengenang beliau sebagai sebagai tokoh falak yang telah memberi sebegitu banyak jasa dan tenaga untuk kemaslahatan umat Islam sekarang. Al-fatihah………..




“ .. bahawa Allah swt tidak menghilangkan sesuatu perkara hinggalah ada penggantinya.”





-Tuan Haji Mohd Khair Bin Haji Mohd Taib, 17 Ramadhan 1407 H bersamaan 26 Mei 1986 M bersempena dengan Nuzul al-Quran dan Pelancaran Persatuan Falak Syarie Malaysia.

* Terima kasih kepada sumber saya:

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...