Planet Zuhrah merupakan planet yang kedua terdekat dengan Matahari selepas planet Utarid. Planet Zuhrah mengorbit matahari pada setiap
224.7 hari bumi. Nama Zuhrah ini diambil daripada bahasa Arab yang
bermaksud bunga kerana bentuknya pada waktu pagi atau pada waktu senja
seakan-akan bunga, tetapi jika dirujuk pada nama bahasa inggeris, planet ini
dinamakan bersempena Venus, Tuhan cinta Rom. Ia merupakan objek semulajadi yang paling terang
di waktu malam, selain Bulan, yang mencapai magnitud kecerahan −4.6.
Oleh kerana Zuhrah merupakan planet inferior dari Bumi, ia tidak pernah muncul
jauh daripada Matahari: Kelonjongannya mencapai maksimum
sebanyak 47.8°. Zuhrah mencapai kecerahan maksimum sebelum matahari naik atau
pun terbenam, disebabkan alasan tersebut ia selalunya disebut sebagai Bintang Pagi atau pun Bintang Petang.
Planet
Zuhrah terletak 0.72 AU jauhnya dari Matahari. Dari Bumi planet ini
kelihatan bergerak jauh sedikit dari Matahari berbanding dengan Utarid.
Perpisahan ketara maksima planet Zuhrah boleh mencapai 45 darjat dari Matahari.
Zuhrah adalah salah satu objek yang paling menarik untuk dicerap. Disebabkan
oleh putarannya mengelilingi Matahari ia kelihatan mengalami fasa-fasa yang
serupa dengan Bulan. Ia juga boleh dicerap dengan teropong tangan. Dalam
putarannya mengelilingi Matahari, pada kedudukan yang terdekat dengan Bumi,
planet Zuhrah dengan senangnya boleh menjadi objek yang tercerah di langit
selepas Matahari dan Bulan.
Gambar Zuhrah yang diambil
dalam tahun 1990 oleh kapal angkasa Galileo. Imej ini telah diwarnakan untuk
memudahkan cerapan dengan lebih terperinci dan untuk menunjukkan warna penuras
ungu yang digunakan. Juga kelihatan dengan terperinci awan berasid sulfurik
yang meliputi planet tersebut. Kredit :NASA
Dari
segi saiz, jisim dan campuran kimia, Zuhrah, yang bergaris-pusat 12 100
kilometer, amat serupa dengan Bumi. Perbezaan yang ternyata cuma dari segi rupanya
sahaja. Tidak seperti Bumi, udara di permukaan Zuhrah amat tebal sehingga
melindungi permukaannya. Ini membentuk satu halangan yang besar dalam
penyelidikan keatas planet Zuhrah. Oleh yang demikian, putaran atas paksinya
tidak dapat diukur sehingga awal tahun 1960′an bila pakar-pakar astronomi dapat
menggunakan radar untuk tujuan ini. Dengan bantuan radar, pakar-pakar astronomi
mendapati bahawa Zuhrah berputar mengikut arah bertentangan dengan arah biasa.
Juga didapati bahawa satu putaran tersebut mengambil masa 243 hari di Bumi.
Penyelidikan
keatas Zuhrah cuma bermula dengan sempurnanya dipermulaan era angkasa lepas. Ia
merupakan planet yang pertama di dalam Sistem Suria yang dilintasi kapal
angkasa, seperti Mariner 2 dalam tahun 1962. Ini diikuti pula oleh beberapa
kapal-kapal angkasa yang lain seperti kapal angkasa Amerika Mariner, kapal
angkasa Soviet Venera dan kapal angkasa America Pioneer Venus Multiprobe.
Pioneer Venus Multiprobe turun memasuki ruang udara dan mendarat di
permukaannya. Akhirnya, sampai pula Pioneer Venus Orbiter, Venera yang lain dan
juga kapal angkasa Magellan yang mengelilingi Zuhrah untuk memetakan
permukaannya mengunakan radar.
Atmosfera
Ciri-ciri
Zuhrah yang paling menakjubkan ialah udaranya. Campuran udaranya amat berbeza dari
udara di Bumi dimana 95 peratus daripadanya terdiri daripada karbon-dioksida,
sedikit kesan nitrogen dan gas yang lain. Udara tersebut juga didapati secara
keseluruhannya tidak begitu tebal. Sebenarnya, awan yang tertebal sekali
terdapat pada tahap ketinggian altitud 45 hingga ke 65 kilometer yang
melindungi permukaan dari pandangan luar. Awan ini didapati mengandungi bintik
bintik asid sulfurik, sedikit air dan jerebu. Awan tersebut bergerak dengan
kelajuan 350 kilometer se jam. Dalam masa 4 hari awan tersebut boleh membuat
satu putaran penuh mengelilingi Zuhrah. Kelajuan ini merupakan 60 kali ganda
kelajuan putaran Zuhrah diatas paksinya.
Keadaan
udara di permukaan Zuhrah boleh dikatakan amat tidak menyenangkan. Tekanan
udaranya adalah 90 kali ganda lebih kuat dari takanan di Bumi. Suhunya boleh
mencapai ketahap 480 darjat Celcius. Suhu inilah yang menjelaskan perbezaan
besar diantara Zuhrah dan Bumi. Sejak terbentuk, kedua-dua Zuhrah dan Bumi
diliputi udara karbon-dioksida dan air. Di Bumi, air jatuh membentuk laut dan
karbon-dioksida pula diserapi oleh batu-batu. Di permukaan Zuhrah pula,
kedudukannya yang lebih dekat dengan Matahari menyebabkan suhu terlalu tinggi
sehingga dua proses tersebut tidak dapat berlaku. Keadaan ini meninggalkan
udara asal Zuhrah lebih-kurang tidak bertukar.
Kedudukan
planet Zuhrah yang dekat dengan Matahari secara tersendirinya tidak dapat
menjelaskan ketinggian suhu permukaan yang mencapai ketahap 480 darjat Celcius.
Suhu tinggi tersebut juga disebabkan oleh fenomena yang dikenali sebagai
Greenhouse Effect. Fenomena ini berlaku bila radiasi Matahari memasuki ruang
udara pada puncak intensitinya. Bahan-bahan udara menyerap radiasi ini dan
mengeluarkannya pula pada intensiti yang rendah yang tidak dapat terlepas ke
ruang angkasa. Ini mengakibatkan radiasi tersebut terperangkap dan bertukar
menjadi suhu tinggi.
Dalam
hal Zuhrah, partikel karbon-dioksida lah yang memerangkap radiasi tersebut.
Mekanisma inilah yang menyebabkan suhu Zuhrah meninggi sikit demi sikit sampai
mencapai suhu sekarang ini. Kesan ini juga terjadi di Bumi tetapi kurang ketara
sebab jumlah karbon-dioksida di Bumi tidak begitu sedemikian tinggi.
Permukaan
Permukaan
Zuhrah terdedah kepada kita terutamanya melalui alat penduga yang diletakkan di
orbit mengelilinginya. Topografi permukaan Zuhrah telah dicerapkan menggunakan
radar. Pioneer Venus Orbiter ialah kapal-angkasa yang pertama sekali
mengelilingi Zuhrah, ia diikuti pula oleh beberapa kapal angkasa Venera. Akhir
sekali, Magellan telah berjaya memetakan 98 peratus dari permukaan Zuhrah. Peta
ini adalah hasil cerapan dalam masa beberapa tahun dengan resolusi lebih-kurang
100 meter. Cerapan tersebut menunjukkan bahawa permukaan Zuhrah, secara
umumnya, adalah terdiri daripada dataran-dataran besar. Dataran ini dibahagi
oleh 2 dataran tinggi sebesar plet benua. Dataran tinggi ini dipanggil
Aphrodite Terra dan Ishtar Terra.
Gambar
permukaan Zuhrah yang diambil oleh kapal angkasa Soviet Venera 13 dalam tahun
1982. Kredit :NASA/GSFC
Di
atas dataran permukaan Zuhrah terdapat penuh dengan bentukan gunung berapi.
Sebahagian daripadanya dapat dipetakan dengan nyata. Satu daripadanya, Mount
Maxwell mencapai tahap ketinggian 11 km. Juga terdapat di permukaan Zuhrah
kubah yang yang janggal bentuknya. Disamping bentukan tersebut yang mungkin
terjadi akibat lava yang cair juga terdapat bentuk hasilan lava yang tua. Bentuk
permukaan in mencadangkan bahawa aktiviti letupan gunung berapi tersebut telah
berlaku tidak berapa lama dulu, mungkin kurang dari 10 juta tahun yang lepas.
Walau bagaimana pun, aktiviti tersebut tidak berlaku lagi sekarang ini,
keujudan plet tektonik seperti Bumi tidak dapat dikesani.
Selain
daripada bentukan gunung berapi, juga terdapat di permukaan Zuhrah beberapa
kawah-kawah, semuanya bergaris-pusat melebihi beberapa km. Ini dijangka
disebabkan oleh atmosferanya yang padat yang menyebabkan meteor yang kecil
hancur dan tidak dapat meninggalkan kesan yang sedemikian besar. Akhirnya,
permukaan Zuhrah telah didedahkan oleh alat penduga Venera yang diturunkan
dengan hati-hati ke permukaan Zuhrah. Dari sini, telah didapati bahawa
permukaan Zuhrah adalah menyerupai padang pasir yang tandus dan berbatu-batu
dan kelihatan berwarna jingga.
Sumber:
No comments:
Post a Comment