PERKHIDMATAN AS-SYI'RA

Kembara Angkasa, PFSM menawarkan perkhidmatan melalui pendekatan ilmu Falak (Astronomi Islam) untuk sekolah, IPT, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut-institut Latihan, Surau, Masjid & Kawasan Perumahan untuk menganjurkan program-program yang bermanfaat seperti:
* Ceramah/Kuliah Motivasi Falak * Cerapan Langit Malam (bulan, bintang, planet dll) * Cerapan matahari * Pameran falak @ sains * Bengkel, Seminar dan Kem Falak (Cth: Bengkel Arah Kiblat & Waktu Solat, Kem Motivasi Ahli Falak Muda dll) * Penentuan dan Semakan Arah Kiblat kediaman dan surau premis perniagaan.

Hubungi: 013 300 5006 - Emel: assyiradihati@gmail.com

ALBUM PHOTO MURAH & MUDAH

Saturday, 18 May 2013

Cerapan Zuhal & Bulan Separa di USIM



SUBHANALLAH!! Itu yang terlafaz di bibir adik-adik di USIM yang telah berpeluang menyaksikan planet zuhal (saturn) dan bulan separa pada malam 17.5.2013 sempena program Malam Tadabbur Alam. Program tersebut telah dianjurkan oleh Sekretariat ICEPS 2013 dengan kerjasama Unit Falak Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (JMKNS). Dalam program ini, saya telah diberi amanah untuk berkongsi sedikit ilmu bersama pelajar-pelajar berkaitan ilmu falak selama 1 jam 15 minit. Semoga pengembaraan kita ke angkasa lepas telah memberikan kita sejuta peluang untuk terus mensyukuri kebesaran ciptaan-Nya.

Program ini turut disertai oleh Krew Falak JMKNS yang diketuai oleh al-Fadhil Ustaz Shafie. Tiga buah teleskop telah digunakan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar dan tetamu yang hadir untuk melihat keagungan ciptaan Allah SWT dengan lebih dekat dan jelas iaitu planet zuhal dan bulan separa pada malam 7 Rejab tersebut.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan daripada JMKNS, Sekretariat ICEPS dan pelajar-pelajar yang telah menjayakan program malam tersebut. Semoga setiap usaha dan langkah yang kita lakukan untuk mengagungkan Allah SWT akan mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. 

Klik gambar


Friday, 17 May 2013

Terokai Angkasa, Agungkan PENCIPTA: Tajuk 3


Sambungan...

Tajuk 3: Teori Big Bang 
Sumber: Dr. Danial Zainal Abidin. 2009. Quran Saintifik.Kuala Lumpur: PTS Millenia Sdn. Bhd.

Teori yang menjadi pegangan umum oleh para sainstis berhubung permulaan alam semesta pada hari ini dikenali sebagai teori Big Bang. Mengikut laporan yang terdapat di lamna web N.A.S.A., dalam segmen Big Bang cosmology di http://map.gsfc.nasa.gov, kejadian alam bermula 12 hingga 14 billion tahun dahulu. Alam pada masa itu hanya berukuran beberapa millimeter sahaja. Sejak daripada tarikh itu ia sudah mengembang sehingga menjadi seperti apa yang kita lihat pada hari ini.

Mengikut teori Big Bang, alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudian berlaku satu letupan yang kuat, sekitar 12 hingga 14 billion tahun dahulu. Selepas itu berlaku pengembangan dan penyejukan sehingga akhirnya lahir bintang-bintang, planet-planet, galaksi dan yang seumpamanya.

Justeru, kenyataan Quran berhubung permulaan alam sememangnya saintifik. Antara pakar yang kagum dengan ayat ini adalah Dr. Alfred Kroner. Beliau adalah seorang Profesor dalam bidang sains geologi dan pernah menjadi Dekan di Jabatan Geologi di Institute of Geosciences, Johannes Gutenberg University, Mainz, Germany. Berhubung dengan ayat ini beliau berkata “Melihat asal usul Muhammad, saya rasa hampir mustahil untuk beliau mengetahui langit dan bumi mempunyai asal usul yang sama. Hal ini disebabkan ilmu mengenainya hanya baru diketahui beberapa tahun baru-baru ini, itu pun dengan menggunakan alat-alat yang canggih. Seseorang yang tidak mengetahui ilmu fizik nuclear 1400 tahun dahulu saya rasa tidak akan mampu mengetahuinya”.

Akhirnya beliau berkata “Apabila kita menghimpunkan kesemua kenyataan Quran berkaitan dengan bumi dan kejadiannya, dan kita kaitkannya dengan sains kita akan mengatakan kenyataan (quran) secara dasarnya adalah benar. Hal ini dapat dibuktikan dengan menggunakan pendekatan yang saintifik. Banyak daripada kenyataan ini tidak dapat dibuktikan dahulu tetapi pada hari ini sains moden dapat membuktikan kebenarannya.” Hal ini dilaporkan dalam A Brief Illustrated Guide to Understanding Publications, . edisi kedua, Mei 1990.



Thursday, 16 May 2013

Terokai Angkasa, Agungkan PENCIPTA: Tajuk 2

Tajuk 2: Quran dan Teori Kejadian Alam
Sumber: Dr. Danial Zainal Abidin. 2009. Quran Saintifik.Kuala Lumpur: PTS Millenia Sdn. Bhd.


Tajuk kali ini, saya cuba sampaikan apa yang telah ditulis oleh Y. Bhg. Dr. Danial, seorang penulis dan doktor yang tidak asing lagi buat kita. Beliau telas mengupas beberapa ayat al-Quran dan juga pandangan ahli profesional berkaitan permulaan kejadian alam ini. Beliau memetik ayat 30 dalam surah al-Anbiyak yang menerangkan firman Allah swt yang bermaksud; “Apakah orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (ratqa) kemudian kami pisahkan antara keduanya (fataq) . Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup” 



Ayat ini menjelaskan mengenai dua perkara penting. Pertama mengenai asal usul kejadian langit dan bumi yang pada asalnya bercantum padu sebelum dipisahkan antara kedua-duanya. Kedua, ayat ini menjelaskan mengenai hakikat kehidupan air adalah asas bagi segala kehidupan. Tanpanya kehidupan tidak akan wujud sama sekali.


Terdapat dua perkataan dalam ayat ini yang perlu diberikan fokus, iaitu.Ratqa dan fataqRatqa berasal daripada perkataam Arab yang bermaksud patch up, sew up iaitu ditampal dan dijahit. Ia melambangkan sesuatu yang terhimpun, melekat dan menguncup.

Fatah pula berasal daripada bahasa Arab fataqa yang bermaksud unsew, unstitch, rip open, tear apart iaitu dibuka, dibelah dan dikoyak. Ia melambangkan sesuatu yang terbuka, terungkai dan mengembang.

Berhubung dengan ayat ini , Imam Said bin Jubair berkata, “Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditingikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini”.

Tafsir oleh Imam Said itu yang dinyatakan lebih daripada 1000 tahun dahulu mengagumkan. Berhubung dengan tafsiran ini, Syeikh Said Hawa berkata dalam al Asas fi al-Tafsir, “Tafsiran yang dibuat, sebagai contoh oleh Imam Said bin Ubair, menceritakan mengenai sesuatu yang tidak diketahui melainkan baru-baru ini.”. Hal ini disebabkan kenyataan ini memang selari dengan penemuan sains pada hari ini berhubung kejadian alam semesta.

Bersambung...


Wednesday, 15 May 2013

Terokai Angkasa, Agungkan PENCIPTA: Tajuk 1

BIsmillahirrahmanirrahim, buat sahabat-sahabat yang dikasihi. Saya telah menjumpai banyak artikel ilmiah yang mengupas dan membincangkan perihal ilmu falak daripada perspektif Al-Quran. Dalam ruangan kali ini, saya himpunkan beberapa penulisan yang telah saya pilih untuk dikongsikan bersama pembaca. Walaupun melalui penulisan sahabat-sahabat yang lain, Inshaa Allah saya akan turut menyumbangkan penulisan saya di sini. Semoga himpunan penulisan di bawah tajuk UTAMA ini iaitu; KENALI ANGKASA, AGUNGKAN PENCIPTA ini akan memberi manfaat kepada kita terhadap ilmu falak melalui perspektif AL-QURAN. Terima kasih.
                                              _______________________________________

Tajuk 1: Kejadian Bumi Menurut Sains dan Al-Quran
Sumber: 
http://pondok1msia.org.my/kejadian-bumi-menurut-sains-dan-al-quran/#.UZLjP7Vee3E

   Zakaria Awang Soh menulis berhubung dengan asal mula alam semesta ini bermula daripada satu bahan yang tunggal dan homogen iaitu sama dengan bahan kamilan padu yang dinyatakan dalam Surah Al-Anbiya ayat 30. Bahan ini mempunyai keamatan yang amat tinggi dan tidak terhingga. Asimov [1982] menyatakan: “Pada tahun 1927, ahli Matematik Belgium, Abbe Georges Edouard Lemaitre menyarankan bahawa semua jirim asalnya datang daripada satu telur cosmos yang mempunyai kepadatan yang amat sangat, yang meledak dan melahirkan alam semesta yang kita ketahui pada hari ini.
     Teori Big Bang ini tidak dipersetujui oleh ramai saintis. Mereka mempersoalkan jika ada letupan mesti ada kesan radiasinya. Pada tahun 1992, NASA telah melancarkan sensor yang sangat peka, COBE ke ruang angkasa bertujuan mencari kesan tersebut dan ia berjaya menangkap beberapa gambar bukti bahawa wujudnya kesan radiasi itu dan telah menafikan teori-teori sebelum ini.
     Penemuan terbaru ini adalah penjelasan secara ilmiah bagi fakta bahawa alam semesta ini terjadi dari asal ketiadaan. Fakta yang baru ditemui ini sebenarnya telah dikhabarkan kepada kita 1400 tahun lampau di dalam al-Quran. Jawapan tepat hanya pada Pencipta-Nya iaitu Allah. “Dan tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum [sebagai benda yang satu], lalu kami pisahkan antara keduanya?. Dan kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”. Al-Quran 21:30 (Surah Al-Anbiya)
“[Ingatlah] pada hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran kertas. Sebagaimana Kami memulai penciptaan pertama, begitulah kami akan ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh kami, sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.” Surah Al-Anbiya’ ayat 104.
“Aku tidak menghadirkan mereka untuk menyaksikan penciptaan langit dan bumi dan tidak pula penciptaan diri mereka, dan tidaklah Aku mengambil orang-orang sesat itu sebagai pembantu.” Surah Al-Kahfi ayat 51.

Selamat Hari CIKGU...


Esok adalah hari GURU. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari GURU buat seluruh warga PENDIDIK yang terdiri dari cikgu-cikgu sekolah rendah & menengah, pensyarah-pensyarah, ustaz-ustaz yang mengajar di surau & masjid dan lain-lain yang mencurahkan ilmu kepada anak bangsa. Semoga setiap usaha kita mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Doakan saya menjadi seorang pendidik jua suatu hari nanti.



Tuesday, 14 May 2013

Selamat Hari IBU...


Buat sahabat-sahabat sekalian, rasa tidak terlambat untuk saya ucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU buat yang bergelar ibu. Terima kasih kerana sudi melayari blog ini. Walau tidak seberapa, saya berharap dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat kepada kalian untuk manfaat kita bersama di dunia dan di akhirat. SAYA SAYANG IBU SAYA SETIAP HARI SELAMA2NYA...



Almanak Falak 2013

Di sini saya kongsikan almanak falak 2013. Sumber: http://falakonline.net/semesta/2013/02/almanak-astronomi-2013/



Monday, 13 May 2013

Kembara Angkasa @ SK Leftenan Adnan; Sambutan Meriah.


Syukur Alhamdulillah kerana telah diberi kesempatan untuk saya bertemu dengan warga Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan (SKLA), Sg. Ramal Luar, Kajang, Selangor pada 09 Mei 2013 (Khamis). Walaupun dikatakan kurang persediaan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah atas program yang telah dianjurkan. Kunjungan PFSM kali ini menerusi salah seorang ahli PFSM yang juga merupakan guru di sekolah tersebut iaitu Ustaz Shahrul. Semoga program yang dijalankan ini akan memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar akan kepentingan ilmu falak.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sambutan yang sangat menggalakkan dan meriah daripada pihak sekolah terutamanya guru-guru, pelajar-pelajar dan tidak lupa kepada ibu bapa yang hadir untuk berkongsi ilmu falak bersama saya sepanjang berada di SKLA. Semoga setiap sumbangan tuan yang dihulurkan melalui pembelian cenderahati falak akan memberikan semangat kepada saya dan PFSM untuk terus berjuang menyampaikan ilmu falak ini kepada masyarakat. Inshaa Allah, jika berkesempatan saya akan singgah lagi di SKLA.

Klik Gambar



Tuesday, 7 May 2013

Sumbangan bermakna untuk PFSM


Salam mesra buat pengunjung Bicara As-Syi'ra.


Sykur Alhamdulillah kerana penantian selama ini telah dimakbulkan oleh Allah SWT. PFSM telah menerima sumbangan sebuah van & kemudahan peralatan daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada 30 April 2013 yang lalu. Majlis penyerahan van ini secara rasminya telah disempurnakan oleh Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor.

Semoga dengan sumbangan ini, pihak KKA & PFSM akan terus bersemangat untuk menabur bakti  dalam mengembangkan ilmu falak kepada kepada masyarakat. Kepada mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan kepada kami, amatlah dialu-alukan. Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan akan memberikan manfaat yang besar kepada kalian bukan sahaja di dunia, malah sebagai bekalan di akhirat kelak.


Klik gambar untuk lihat seterusnya



Monday, 6 May 2013

Terima kasih Sek. Raja Perempuan Taayah, Ipoh


Semoga sihat semuanya...buat pertamanya untuk tahun 2013 ini, saya memulakan aktiviti saya dengan memenuhi undangan daripada Sekolah Raja Perempuan Taayah (SRPT), Ipoh pada 23 April 2013 (Selasa) untuk mengadakan pameran & berkongsi serba sedikit ilmu yang ada dengan adik-adik di sana. Seronok sangat sebab depa 'sporting' dan bagi sokongan.Program yang last saya ikut pon pada bulan September 2012 dengan adik-adik SMK Seri Saujana. Lepas pada itu, sibuk sikit dengan penulisan tesis saya.

Kunjungan saya ke SRPT Ipoh ini adalah bersama dengan sahabat-sahabat Kembara Angkasa, Persatuan Falak Syar'i Malaysia (PFSM). Kebanyakkan aktiviti saya adalah melalui Kembara Angkasa PFSM kerana saya merupakan salah seorang ahlinya. Di SRPT, kami mengadakan pameran sempena Minggu Sains 2013 di mana adik-adik pun turut terlibat dalam pameran tersebut dengan pelbagai bahan masing-masing.

Pada sebelah malamnya, sepatutnya diadakan cerapan langit malam. Namun, keadaan cuaca tidak mengizinkan kerana hujan masih turun sejak dari petang lagi. Dalam masa itu, saya gantikan dengan dengan perkongsian ilmu dengan adik-adk berkaitan kehebatan ciptaan Allah SWT pada angkasa-Nya. Syukurlah segalanya berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja tamat program tersebut, saya dan sahabat kembara terus pulang ke rumah kerana ada urusan lain pada keesokannya.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak warga SRPT kerana menerima kehadiran kami yang diuruskan oleh team Ustaz Mahadir. Untuk adik-adik, segala yang dikongsikan jangan lupa disebar-sebarkan ilmu itu walau sedikit. Mohon banyak kemaafan dan kekurangan jika terdapat kekhilafan sepanjang saya dan Krew Kembara Angkasa berada di sana.


Klik gambar untuk lihat gambar berikutnya



Sunday, 5 May 2013

Selamat MENGUNDI...


Tidak lewat rasanya untuk mengucapkan SELAMAT MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB sebagai RAKYAT MALAYSIA. Semoga setiap keputusan yang telah kita buat akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan semoga setiap kekhilafan yang telah kita lakukan, akan mendapat keampunan daripada Allah juga. Kepada yang MENANG, TAHNIAH & selamat menjalankan amanah yang telah diberikan. KAMI tahu anda BERSEDIA UTK MENUNAIKANNYA...kepada yang TIDAK BERJAYA, ALLAH beri peluang untuk MEMPERTINGKATKAN USAHA.




Friday, 3 May 2013

Kini kembali...



Rasa lama yang amat sangat saya tidak berkongsi sesuatu di laman ini. Terlalu rindu dibuatnya. In shaa Allah, kini saya akan kembali dengan sedaya upaya untuk berkongsi ilmu dan maklumat dengan saudara/i sekalian. Terima kasih kerana selalu melawati laman ini.Kerana kesibukan yang tak dapat dielakkan, termasuklah dengan perkhidmatan internet persendirian yang tidak mengizinkan untuk saya selalu berada di laman ini. Untuk tahun 2013 yang dah menjengah bulan Mei, saya harapkan dapat terus memberikan sedikit sebanyak sumbangan kepada pembaca. Terima kasih kerana terus mendoakan usaha saya ini.


Semoga setiap inci usaha kita akan diberkati oleh Allah swt dengan harapan baginda Rasulullah SAW juga berbangga dengan perjuangan yang telah kita lakukan untuk ummah. Jumpa saya dari semasa ke semasa ya..

Sekian, wassalam.




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...