PERKHIDMATAN AS-SYI'RA

Kembara Angkasa, PFSM menawarkan perkhidmatan melalui pendekatan ilmu Falak (Astronomi Islam) untuk sekolah, IPT, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut-institut Latihan, Surau, Masjid & Kawasan Perumahan untuk menganjurkan program-program yang bermanfaat seperti:
* Ceramah/Kuliah Motivasi Falak * Cerapan Langit Malam (bulan, bintang, planet dll) * Cerapan matahari * Pameran falak @ sains * Bengkel, Seminar dan Kem Falak (Cth: Bengkel Arah Kiblat & Waktu Solat, Kem Motivasi Ahli Falak Muda dll) * Penentuan dan Semakan Arah Kiblat kediaman dan surau premis perniagaan.

Hubungi: 013 300 5006 - Emel: assyiradihati@gmail.com

ALBUM PHOTO MURAH & MUDAH

Monday, 29 October 2012

Salam AIDILADHA 1433H

Salam sua buat semua sahabat-sahabat Bicara As-Syi'ra...

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya. Semoga dengan kedatangan Aidiladha kali ini akan memberikan kita sejuta kerahmatan. Semoga segala apa yang telah kita curahkan akan memberi manfaat yang besar kepada kita semua sebagai bekalan di akhirat sana.

"Salam Aidiladha"

Maaf Zahir & Batin

Tuesday, 23 October 2012

Saya bersama KKA UKM dan UniKL MIAT di Baitul Hilal Teluk Kemang

Salam sua buat sahabat-sahabat saya...


Terima kasih kerana terus melayari blog yang tak seberapa ini. Saya cuma ingin bercerita pengalaman bersama KKA UKM dan UniKL MIAT ke Baitul Hilal Teluk Kemang ni..Kehadiran mereka merupakan kunjungan kali yang kedua di situ untuk membuat cerapan hilal Zulhijjah pada 30 Zulkaedah 1433 (16 Oktober 2012). Dengan harapannya dapatlah juga melihat anak bulan tu walaupun cerapan rasmi dah dibuat pada hari semalamnya (15 Oktober bersamaan 29 Zulkaedah). Disebabkan umur hilal sudah menjangkau 23j 42m, harapannya hilal akan kelihatan.

Di situ saya dibantu oleh KKA USIM (Saudari Idza dan Ana) untuk cerapan kali ini. Kami tiba awal kira-kira jam 6.00 petang. Kebetulan pula pada masa yang sama saya telah bertemu dengan Ustaz Hardi Sadali (mantan Pegawai Falak di JMNPP) yang berkursus di Klana Resort tu la..So, Ustaz pun turut membantu dalam cerapan tersebut. Walaubagaimanapun, mereka tiba sedikit lewat kira-kira jam 6.45 petang memangdangkan aktiviti cerapan telah pun bermula. Taklimat ringkas berkaitan cerapan diberikan dan aktiviti cerapan dimulakan dengan menggunakan teodolit dan mata kasar (sebab alat tak cukup). Hahahaha...

Namun, cuaca agak tidak mengizinkan pada petang itu, menyebabkan kami tidak dapat melihat hilal. Maka, ada KKA UKM mengambil peluang untuk melawati galeri pameran dan kawasan sekitar Baitul Hilal. Segalanya selesai pada jam 8.30 malam dan berangkat pulang. Di sini, penulis mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustaz Hardi, Idza, Ana, Sarah, Wawan dan KKA UKM dan UniKL MIAT yang terlibat). Semoga berpeluang untuk melihat di lain waktu.

Tuesday, 16 October 2012

Kunjungan kali ke-3 di Masjid Kampung Kuantan, Klang

 

Syukur Alhamdulillah, pada 14 Oktober 2012 bersamaan 28 Zulkaedah 1433H yang lalu, Krew Kembara Angkasa PFSM sekali lagi diberi peluang untuk bersama penduduk Kampung Kuantan, Klang dalam Kuliah Falak di Masjid Kg. Kuantan. Program tersebut bermula selepas solat maghrib dengan kuliah telah disampaikan oleh Tuan Syed Kamarul Zaman (YDP PFSM). KKA turut mengadakan pameran dan juga jualan cenderahati falak.

Di sini, PFSM ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini terutama pihak pengurusan Masjid Kg. Kuantan, jemaah masjid dan KKA yang membantu iaitu Wani Turut hadir bersama ialah penasihat KKA, En Rahony.



Tuesday, 2 October 2012

Berita Falak: Ahli Falak Malaysia Ukur Altitude Matahari

Mengharumkan nama Malaysia di Pontianak Post
Oleh: kassimhb@gmail.com


Persatuan Falak Syarie telah melakukan kajian Kulminasi Matahari pada 22 September di Pontianak. Seramai 15 orang telah telibat dalam ekspedisi ini diketuai oleh Dr(H) Kassim Bahali. Diantara aktiviti yang dilakukan adalah mengukur altitud Matahari dan waktu kulminasi dengan alat Rubu Mujayyab dan cerapan Matahari dengan teleskop Coronado.

Aktiviti ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dari masyarakat setempat dan liputan media di Pontianak. Satu yang mengembirakan ahli persatuan apabila telah keluar di muka depan akhbar Pontianak Post pada ahad 23 September 2012 - "Ahli Falak Malaysia Ukur Altitude Matahari.


Muka depan Pontianak Post 23 Sept 2012


Monday, 1 October 2012

Terima kasih penduduk Kg. Kuantan, Klang

Salam hormat daripada bicaraassyi'ra...

Syukur Alhamdulillah penulis panjatkan kerana telah diberi kekuatan dan kesihatan yang baik oleh Allah swt untuk bersama-sama warga Kg. Kuantan dan sekitarnya dalam program Forum 'Jom Hijrah Tolak Jahiliah' yang telah dianjurkan oleh pihak Masjid Kg. Kuantan pada semalam (Ahad, 30 September 2012/14 Zulkaedah 1433h).

Dalam program tersebut, PFSM telah dijemput untuk turut serta dan membuat jualan sijil tarikh lahir hijri dan cendeharati falak. Syukur Alahamdulillah, sambutan yang baik daripada penduduk yang hadir untuk memiliki sijil tersebut sebagai 'koleksi yang berharga' untuk diri sendiri. Ada yang buat untuk ibu bapa sebagai hadiah, ada yang buat untuk satu keluarga. Kerana kelainan pada sijil ini mengandungi gambar, fasa bulan kelahiran, tarikh lahir hijri dan hari kelahiran. Di samping itu juga terdapat beberapa aktiviti jualan turut disediakan sepanjang forum berlangsung. Program telah berlangsung daripada jam 5.00 petang sehingga 12.00 tengah malam.

Dalam program tersebut, KKA telah berkesempatan untuk membuat cerapan bulan penuh yang memberi ruang dan peluang kepada penduduk untuk melihat lebih dekat. Walaupun persekitaran yang kurang 'membantu' cerapan. Namun, cerapan tetap dijalankan juga untuk memberi peluang kepada masyarakat yang hadir daripada pelabagai lapisan umur untuk melihatnya. Cerapan dan aktiviti jualan tamat kira-kita jam 11.45 malam. Penulis tiba di rumah di Nilai kira-kira jam 2.00 pagi.

Di sini, penulis mewakili PFSM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak masjid dan penduduk kampung khususnya kerana telah menjemput PFSM. Tidak dilupakan kepada Krew Kembara Angkasa yang terdiri daripada Wani, Huda dan keluarga (Wardah dan Ustaz Zul) serta Sham (Ahli baru KKA) yang telah sudi meluangkan masa dan tenaga bersama KKA. Semoga sumbangan dan jasa baik kalian hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya.

Lihat Galeri Gambar di sini, Terima kasih.




Wednesday, 26 September 2012

Sambutan terbaik daripada adik-adik ASPURI SMK Seri Saujana


Salam sua buat semua sahabat BicaraAsyi'ra...

Rasa macam lama tak bersua di sini dengan sahabat semua. Kali ini (26 Sept 2012/10 Zulkaedah 1433), penulis berpeluang untuk berkongsi ilmu falak dengan adik-adik di SMK Seri Saujana, Bandar Seri Petaling. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak sekolah melalui Jawatankuasa Kelab Falak kerana berjaya menganjurkan 'Bengkel Ilmu Kaji Bintang Falak Syarie' ini. Syukur Alhamdulillah kerana segalanya telah berjalan lancar di Dewan Akasia.

Hari ini, penulis bersama-sama kira-kira 130 orang adik-adik ASPURI SMKSS berkongsi cerita berkaitan 'Seronoknya Belajar Falak'. Tahniah kepada adik-adik yang telah berjaya menjawab soalan dengan baik dan telah menerima cenderahati daripada KKA PFSM. Dikesempatan ini, penulis ingin merakamkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah, pengurusan kelab falak dan adik-adik yang telah menjayakan program kita hari ini. Semoga segala yang terbaik akan menjadi manfaat kita bersama.


*Terima kasih juga kepada Pn. Normawati, Pn. Fatimah, Pn. Azlin (Guru SMKSS), Sdri. Idza dan Sdri Afifah (KKA PFSM) yang banyak membantu penulis sepanjang program berlangsung. Moga Allah SWT membalas budi baik kalian.



Sunday, 9 September 2012

30:6:1

Salam sahabat bicaraassyira..

Rasa macam lama tak tulis apa-apa di sini. Hendak dikongsikan bersama selagi ada masa ini...satu pesanan yang MULIA dari Nabi kesayangan kita Nabi Muhammad SAW...

30:6:1


JOM...sama2!!


Monday, 27 August 2012

Cerapan Hilal Syawal 1433H di PFST


Salam Aidilfitri buat semua rakan-rakan BicaraAssyira...

Diharapkan semua masih sihat dan gembira sempena Syawal tahun ini. Di sini, saya ingin kongsikan dengan pembaca pengalaman ketika mencerap hilal Syawal 1433H baru-baru ini. Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk menyertai team Falak Penang membuat cerapan di Pusat Falak Sheikh Tahir, Balik Pulau, Pulau Pinang. Saya tiba di PFST sekitar jam 3.30 petang, masa tu team Falak Penang dah sampai awal lagi. Seronok dapat jumpa dengan geng Falak Penang ni, maklumlah sebelum ni pernah 'join' team ni masa praktikal dulu (Disember 2009-Februari 2010).

Monday, 13 August 2012

PFSM bersama MAHASISWA Darul QURAN


Salam sua buat sahabat-sahabat Bicara AsSyi'ra....

Penulis ingin melafazkan setinggi rasa syukur kerana dengan izin-NYA telah memberi peluang dan ruang kepada PFSM untuk bertemu dengan mahasiswa/i Darul Quran JAKIM sempena Seminar Falak Syar'ie Darul Quran. Pogram yang diadakan ini bersempena Minggu Intifadhah 2012. Program ini telah berlangsung selama 2 hari 11 & 12 Ogos 2012 (Sabtu & Ahad) dengan 3 slot perkongsian ilmu falak iaitu;

Slot 1: Ilmu Falak: Kenali Angkasa, Kenali Pencipta (Oleh: Penulis, Kembara Angkasa PFSM)
Slot 2: Kaedah Penentuan Arah Kiblat (Oleh: Penulis, Kembara Angkasa, PFSM)
Slot 3: Penentuan Waktu Solat Dalam Kapal Terbang dan Tempat Berlatitud Tinggi: Aplikasi dan perlaksanaannya menurut perspektif falak syar'ie. (Oleh: Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, YDP PFSM).

Monday, 6 August 2012

KKA PFSM bersama KOMUNITI

Perkongsian Ilmu Falak: Penentuan Arah Kiblat

Salam sua untuk sahabat-sahabat bicaraassyira..

Semalam, 5 Ogos 2012 bersamaan 16 Ramadhan 1433, Krew Kembara Angkasa telah dijemput untuk berkongsi ilmu falak dengan komuniti setempat. Kali ini, KKA dijemput oleh pendudukn Surau D'Wakaf, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. KKA disertai oleh Ustaz Dr. Ibnor Azli (penasihat KKA) dan penulis. Dalam program tersebut, kami berkongsi pelbagai panduan dan cara untuk menentukan arah kiblat diantaranya melalui lintasan matahari harian. Penulis amat bersyukur dan terharu dengan sambutan baik yang telah diberikan oleh penduduk di situ. 

Friday, 3 August 2012

Koordinat Tempat Cerapan Rasmi Di Malaysia

Salam buat sahabat saya yang dikasihi, di sini saya kongsikan maklumat berkaitan Koordinat lokasi-lokasi cerapan rasmi di Malaysia yang saya perolehi daripada sumber rujukan utama saya lagi sahih maklumatnya, tak lain tak bukan JAKIM la..hihih (klik sini: http://apps.islam.gov.my/efalak/?q=erhk-tempat) 

Wednesday, 1 August 2012

Sejarah Aktiviti Cerapan Hilal Di Malaysia

Salam ramadhan yang amat mulia, hari ini saya nak kongsikan dengan sahabat-sabahat berkaitan sejarah aktiviti cerapan hilal di Malaysia dan juga kriteria Imkanur Rukyah yang diamalkan di negara kita untuk pengetahuan kita bersama. Maklumat ini saya perolehi daripada:  http://apps.islam.gov.my/efalak/?q=erhk-sejarah

Pada peringkat awal, amalan merukyah di negara kita dilakukan oleh golongan cerdik pandai agama seperti alim ulama, kadi-kadi dan mufti kerana mereka mempunyai pengetahuan yang meluas tentang ilmu falak dan hukum-hukum syarak yang berkaitan. Usaha merukyah telahpun dijalankan secara rasmi sejak tahun 1934 oleh Syed Alwe bin Tahir Al-Hadad dari menara masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. 


Apabila Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam ditubuhkan pada tahun 1970, jawatankuasa-jawatankuasa rasmi telah dilantik untuk melihat anak bulan Ramadan dan Syawal di tiga tempat iaitu Telok Kemang (Negeri Sembilan), Johor Bahru (Johor) dan Kampung Pulau Sayak (Kedah). Sehingga tahun 2011, tempat-tempat merukyah hilal telah ditambah menjadi 29 tempat; setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu tempat merukyah hilal.

Sunday, 29 July 2012

Salam Ramadhan untuk PECINTA ILMU FALAK...


Rasa lama tak 'up-date' blog ni, hari ini berkesempatan sedikit untuk coretkan sesuati di sini, maklumlah bulan puasa ni, kita sama-sama 'BZ' dengan urusan mempertingkat segala koleksi pahala bersama. Rasa belum terlambat untuk mengucapkan Ramadhan Kareem pada semua sahabat-sahabat pecinta ilmu falak dan muslimin dan muslimat di dunia. Semoga yang terbaik daripada-Nya di bulan mulia ini milik kita bersama. Untuk perkongsian bersama, saya lampirkan beberapa (walaupun ada banyak lagi) wallpaper sempena bulan mulia ini.


Salam Ramadhan 
daripada 
saya, Krew Kembara Angkasa dan Persatuan Falak Syar'i Malaysia








Thursday, 19 July 2012

Cerapan HILAL RAMADHAN AL-MUBARAK 1433H sangat MERIAH!!!

Waktu yang ditunggu-tunggu oleh seluruh MUSLIMIN & MUSLIMAT di dunia ialah CERAPAN HILAL RAMADHAN. Cerapan rasmi telah dilakukan di seluruh negara di 29 buah lokasi yang telah diwartakan. Cerapan ini turut dimeriahkan oleh orang ramai, yang turut tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri amalan rukyah dan hisab hilal yang telah dilakukan sekian lama. 

Wednesday, 18 July 2012

JOM Cerap HILAL Ramadhan!!!!



Cerapan HILAL Ramadhan Kembali..


Salam penghujung Sya'aban buat sahabat-sahabat...

Kita sudah berada di penghujung Sya'aban yang tersayang. Tak lama lagi kita akan bersahabat dengan Ramadhan yang MULIA. Sudahkah kita bersedia untuknya? Semoga pengajaran tahun lalu akan menjadikan kita lebih bersedia untuk tahun ini.

CERAPAN HILAL? Sudah tentu sahabat-sahabat falak saya sudah membuat persiapan untuk cerapan hilal Ramadhan esok hari, 29 Sya'aban 1433H. Bagaimana pula dengan orang awam yang lain??anda juga digalakkan hadir untuk sama-sama mengambil peluang melihat melihat sendiri bagaimana cerapan hilal dilakukan oleh sahabat-sahabat falak kita. Sememangnya kita sedia maklum, kita menggunakan KAEDAH RUKYAH DAN HISAB untuk melihat hilal ini. Nanti saya akan kongsikan apa itu kaedah rukyah dan hisab.

Untuk cerapan esok, negara kita mempunya 29 tempat cerapan hilal rasmi di seluruh negara. (klik sini) Di setiap negeri pun ada. Jangan risau. Cuma kita nak pergi atau tak nak je..Buat sahabat-sahabat falak, selamat membuat persiapan yang terbaik. Dengar ceritanya, sahabat-sahabat di Selangor sibuk membuat persiapan untuk MAJLIS PERASMIAN BALAI CERAP SELANGOR sempena cerapan hilal Ramadhan kali ini. Saya doakan semoga semuanya berjalan dengan lancar dan berjaya. TAHNIAH untuk Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Baitul Hilal Teluk Kemang yang baru bila pula nak rasmi yer???

Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam yang akan dirasmikan oleh D.Y.M.M Sultan Selangor pada esok hari,19 Julai 2012/29 Sya'aban 1433H

Monday, 16 July 2012

Istiwa A'ZAM kembali LAGI!!!!


Salam buat sahabat-sahabat..

Mungkin ada yang terlupa atau yang tak ingat bahawa hari ini sekali lagi berlaku fenomena Istiwa A'zam di mana matahari berada tepat di atas Ka'abah pada tengah hari di Mekah tetapi kita di Malaysia, sudah waktu petang la..

Fenomena ini telah berlaku pada 28 Mei yang lalu pada jam 5.16 petang. Manakala hari ini pula kali yang kedua ianya terjadi. 2 kali setahun. Jangan lepaskan peluang untuk membuat SEMAKAN ARAH KIBLAT DI TEMPAT ANDA pada hari ini JAM 5.28 petang.

ISTIWA A'ZAM, 16 JULAI, 5.28 PETANG








Saturday, 14 July 2012

Zuhrah: Nama Yang SANGAT Indah!!!

Planet Zuhrah merupakan planet yang kedua terdekat dengan Matahari selepas planet Utarid. Planet Zuhrah mengorbit matahari pada setiap 224.7 hari bumi. Nama Zuhrah ini diambil daripada bahasa Arab yang bermaksud bunga kerana bentuknya pada waktu pagi atau pada waktu senja seakan-akan bunga, tetapi jika dirujuk pada nama bahasa inggeris, planet ini dinamakan bersempena Venus, Tuhan cinta RomIa merupakan objek semulajadi yang paling terang di waktu malam, selain Bulan, yang mencapai magnitud kecerahan −4.6.

Tuesday, 10 July 2012

KKA @ USIM

2 hari KKA di USIM

Isnin & Selasa (9 & 10 Julai 2012), KKA kali ini telah berada di USIM Nilai bersempena I-FIKR 12 (Kem Sains & Teknologi Islam 2012). Pameran yang berlangsung selama dua hari ini telah mendapat sambutan yang amat baik daripada warga USIM seperti sebelum ini. Galeri pameran KKA PFSM ini turut dimeriahkan oleh adik-adik peserta Pertandingan Debat Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan yang bertanding di USIM. KKA kali ini hanya ditemani oleh seorang sahaja krew iaitu Saudari Idza. Terima kasih diucapkan kepada beliau, pihak penganjur, dan mereka yang telah menjayakan program kali ini.

Terima kasih, terima kasih dan terima kasih.

Monday, 9 July 2012

KKA temui penduduk di Masjid Kg. Kuantan, Klang

KKA @ Masjid Kg. Kuantan, Klang

Selesai sahaja menunaikan tanggungjawab kami di Charity Bazaar @ Chow, kami terus bertolak ke Masjid Kampung Kuantan, Klang untuk menjayakan program falak di sana sempena menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubarak. Program di sana yang berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam itu telah mendapat sambutan yang baik dari pendudukn yang hadir ke masjid. Beberapa pengisian yang telah disediakan oleh pihak masjid antaranya ialah kuliah falak dan tahlil.

Terima kasih kepada KKA (Jaz, Wani, Falihin & Idza) yang sudi meluangkan masa dan tenaga, pihak masjid dan penduduk Kg. Kuantan yang telah menjayakannya.

Saturday, 7 July 2012

KKA PFSM @ Charity Bazaar


Salam sua buat sahabat-sahabat As-Syi'ra...

CHARITY Bazaar @ CHOW

Hari ini bermula jam 10.00 pagi - 05.00 petang, seramai 5 orang Krew Kembara Angkasa (KKA) PFSM telah menyertai CHOW Charity Bazaar yang berlangsung di Tingkat 4, Menara Weld, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Bazar ini diadakan untuk mengumpul dana yang akan diberikan kepada anak-anak yatim Palestin yang kini amat memerlukan bantuan. KKA yang turun memberi sumbangan antaranya ialah Wani, Jaz, Falihin dan Idza. Turut serta ialah YDP PFSM, Tn. Syed Kamaruzzaman. KKA mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur, PFSM dan semua yang telah menjayakan program ini serta yang telah mengunjungi 'booth' PFSM. Semoga sumbangan yang kalian berikan akan mendapat ganjaran yang amat besar di sisi-NYA.

Wednesday, 4 July 2012

KKA PFSM @ KUIS, 4 - 7 Julai 2012


Salam sua buat teman-teman..

Bermula 4  hingga 7 Julai 2012, KKA akan mengadakan pameran di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sempena KUIS Ekstival 2012. Kunjngi pameran KKA PFSM di khemah no. 80. KKA kali ini disertai oleh Wani, Norfalihin, Jaz dan Idza. Kunjungan anda amat dialu-alukan. Terima kasih kepada mereka yang telah mengunjungi kami.

Friday, 29 June 2012

SUMBANGAN TOKOH FALAK ISLAM

Sumber: http://www.al-azim.com/~smkdolsaid/txtsumbanganislam.htm

Umat Islam terlibat secara aktif dalam bidang ilmu aqal (al-Ulum alAgliyyah) termasuk ilmu falak, adalah dalam zaman Umayyah dan Abbasiah. Dalam zaman pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah, sarjana yang terkenal dalam pengkajian ilmu falak ialah Khalid bin Yazid al-Amawi (meninggal 85H). Beliau adalah cucu kepada Khalifah Muawiyah bin Abi Sufian. Beliau digelar Hakim Ali Marwan. Beliau banyak membelanjakan hartanya untuk menuntut ilmu falak dan menyediakan peralatannya. Kemungkinan telah berlaku terjemahan buku-buku asing ke bahasa Arab atas anjuran beliau, tetapi hasil-hasil khazanah itu telah hilang dari khazanah umat Islam. Beliau adalah orang yang pertama kali menterjemahkan kitab-kitab termasuk kitab-kitab mengenai perbintangan.

Thursday, 28 June 2012

PENENTUAN WAKTU SOLAT DALAM KAPAL SELAM


Salam ceria buat sahabat semua...semoga hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam.

Saya ada terbaca dalam satu blog milik USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL (klik sini) berkaitan hal ini, saya amat tertarik dengan pandangan yang telah beliau kemukakan dan rasakan boleh dijadikan sebagai rujukan untuk kita bersama. Terima kasih kepada al-fadhil ustaz atas pandangan yang telah dikongsikan. Di sini, saya kongsikan pula pandangan yang beliau tuliskan (boleh klik sini juga) untuk sahabat-sahabat. Selamat membaca..

Wednesday, 27 June 2012

FATWA FALAK: Hukum Mencerap Hilal Dari Satelit



Salam kasih buat semua...

Hari ini saya ingin kongsikan lagi dengan pembaca berkaitan satu lagi fatwa falak sebagai panduan kita semua iaitu berkaitan cerapan hilal. Sehingga hari ini, kita menjalankan aktiviti rukyah hilal hanya di atas permukaan bumi sahaja, tetapi bagaimana pula dengan jika cerapan hilal di buat menggunakan satelit? Inilah keputusannya:

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan mengenai Hukum Mencerap Hilal Dari Satelit. Muzakarah telah memutuskan bahawa buat masa ini belum ada keperluan untuk menggunakan satelit bagi mencerap hilal dalam menentukan bulan-bulan qamariah khususnya Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah memandangkan kaedah hisab dan rukyah yang digunakan masih sesuai. Walaubagaimanapun untuk tujuan penyelidikan dan merakam pergerakan bulan penggunaan satelit adalah diharuskan."



Sekadar hiasan

Tuesday, 26 June 2012

Jarak PLANET dengan MATAHARI

Salam sua buat sahabat sekalian...

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai jarak purata antara planet dengan matahari. Semua sedia maklum, sistem solar kita berada dalam galaksi Bima Sakti (Milky Way). Dalam sebuah galaksi yang besar ini, kita dipilih untuk hidup di sebuah planet yang amat cantik. Jom kita lihat berapakan jarak purata antara planet-planet ini dengan MATAHARI!!

57.9 juta kilometer ke Utarid
108.2 juta kilometer ke Zuhrah
149.6 juta kilometer ke Bumi
227.9 juta kilometer ke Marikh
778.3 juta kilometer ke Musytari
1,427.0 juta kilometer ke Zuhal
2,871.0 juta kilometer ke Uranus
4,497.0 juta kilometer ke Neptun
5,913.5 juta kilometer ke Pluto



Wednesday, 20 June 2012

TOKOH FALAK: TUAN HAJI ABDUL GHANI BIN SALLEH

Lahir di Kampung Paya Keladi, Kuala Terengganu tahun 1929 dan pernah menetap di alamat 25, Jalan Bakti, Off Jalan Kamaruddin, 20400 Kuala Terengganu. Mendapat pendidikan di Sekolah Rendah, Paya Bunga, Kuala Terengganu. Memulaikan kerjaya sebagai nelayan kini dikenali sebagai ahli falak syarie yang berkebolehan. Dengan ilmu yang ada, beliau telah banyak memberikan khidmat dalam memperkembangkan ilmu ini dengan mengajarkannya di Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura. Kerana kepakarannya itu selalu juga beliau diundang ke Persidangan Antarabangsa dalam bidang ilmu falak.

Tuesday, 19 June 2012

Bahagian Dua : Keajaiban Al-Quran Diakui Sains & Fakta Ilmu

[Sambungan] artikel karangan: http://zaharuddin.net/al-quran-&-hadith/62-bahagian-dua--keajaiban-al-quran-diakui-sains-a-fakta-ilmu.html


BENTUK SFERA BUMI

"Dia menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran. Dia membungkuskan malam atas siang dan membungkuskan siang atas malam..." (Surah Az-Zumar:5)

Thursday, 14 June 2012

Bahagian Dua : Keajaiban Al-Quran Diakui Sains & Fakta Ilmu

Salam buat sahabat-sahabat, untuk hari ini saya sertakan lagi sambungan daripada artikel semalam karangan Ustaz Zaharuddin dalam artikel beliau di http://zaharuddin.net/al-quran-&-hadith/62-bahagian-dua--keajaiban-al-quran-diakui-sains-a-fakta-ilmu.html

[Sambungan]

PEMISAHAN LANGIT DAN BUMI

Wednesday, 13 June 2012

KEWUJUDAN ALAM SEMESTA



Salam hormat buat sahabat-sahabat...

Saya telah membaca satu artikel karangan Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin di laman beliau  yang terkenal iaitu http://zaharuddin.net. Saya berasa amat tertarik untuk dikongsikan bersama sahabat-sahabat saya di sini. Saya lampirkan penulisan beliau yang cukup bermanfaat ini untuk kita bersama. Saya akan kongsikan sedikit demi sedikit maklumat yang beliau sampaikan dari semasa ke semasa. Kalau nak terus baca semua boleh sahaj terus ke link ini. http://zaharuddin.net/al-quran-&-hadith/62-bahagian-dua--keajaiban-al-quran-diakui-sains-a-fakta-ilmu.html. Terima kasih al-fadhil ustaz atas perkongsian ilmu ini.

Bahagian Dua : Keajaiban Al-Quran Diakui Sains & Fakta Ilmu

Tuesday, 12 June 2012

Fatwa FALAK: Pelaksanaan Ibadat Di International Space Station (ISS)

Salam hormat daripada saya...

Kali ini saya hendak kongsikan maklumat dengan sahabat-sahabat berkaitan fatwa dan garis panduan ibadat di ISS. Mungkin ada yang dah tahu akan hal ini, dan mungkin ada yang belum mengetahui sepenuhnya lagi. Daripada sumber JAKIM ini, saya kongsikan dengan sahabat-sahabat kerana ia juga berkaitan dengan amalan ibadah dan ilmu falak yang kita tahu.
Di bawah ini adalah keputusan muzakarah fatwa bagi hal yang saya kongsikan ini.

Monday, 11 June 2012

PENENTUAN ARAH KIBLAT: KAEDAH 10

KAEDAH 10: penggunaan pelan tapak

* Menggunakan kaedah trigonometri.

* Amat sesuai di kawasan perumahan teres, apartment dan bangunan yang dibina mengikut pelan yang diperakui.

* Boleh dilakukan dengan bantuan alatan seperti jangka sudut teodolit dan lain-lain.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...